AM > BERITA

JOHOR PLANTATIONS SASAR SEGMEN HILIRAN SUMBANG 20 PERATUS HASIL

09/07/2024 07:02 PM

KUALA LUMPUR, 9 Julai (Bernama) -- Johor Plantations Group Bhd (JPG) menyasarkan penglibatannya dalam segmen hiliran bakal menyumbang 20 peratus daripada hasil syarikat menjelang 2027, kata Pengarah Urusannya Mohd Faris Adli Shukery.

JPG adalah anak syarikat milik penuh Kulim (Malaysia) Bhd yang juga entiti milik penuh Johor Corp.

“Kami kini menceburi usaha pemprosesan hiliran dengan kepakaran dalam penapisan minyak dan lelemak khusus bagi pengeluaran makanan.

“Oleh itu, kami tidak lagi menumpukan produk berasaskan komoditi, tetapi produk-produk pengguna seperti lemak koko,” katanya pada sidang media bersempena penyenaraian JPG di Pasaran Utama Bursa Malaysia di sini, hari ini.

Syarikat itu berjaya mengumpulkan sebanyak RM735 juta daripada langkah tawaran awam permulaan (IPO) yang juga IPO terbesar sejak 2022.

Mengulas selanjutnya, Mohd Faris berkata kumpulan itu juga berhasrat membangunkan sebuah kompleks bersepadu minyak sawit mampan di Estet Pasir Logok yang bernilai kira-kira RM446 juta.

JPG juga mengenal pasti Fuji Oil Asia Pte Ltd dan memeterai perjanjian bersama dalam usaha menceburi perniagaan hiliran perladangan.

Mengulas butiran kos kompleks bersepadu mampan itu, kos pembinaan yang ditanggung oleh kumpulan mencecah kira-kira RM358.4 juta dengan RM171.6 juta ditampung hasil daripada terbitan saham awam berkenaan manakala baki RM186.8 juta menerusi dana dikumpul secara dalaman selain sumber kewangan dari luar.

Mengulas program penanaman semula pokok sawit, Mohd Faris berkata kumpulan telah memulakan usaha itu pada kadar empat peratus dan dijangka meningkat kira-kira lima hingga enam peratus sekiranya berlaku ketidaktentuan.

Laporan sebelum ini menyatakan bahawa syarikat perladangan yang berpangkalan di Johor itu mempunyai tanah simpanan perladangan lebih kecil seluas 58,781 hektar dan kekurangan aktiviti-aktiviti penanaman selain profil pokok dengan purata usia lebih tinggi daripada pasaran sebanyak 13.9 tahun.

Mengulas Peraturan Kesatuan Eropah berkaitan Produk Bebas Penebangan Hutan (EUDR) yang akam mula berkuatkuasa pada 30 Dis, 2024, Mohd Faris berkata JPG berada di landasan tepat dalam memenuhi keperluan berkenaan.

"Kami tidak begitu bimbangkan dari segi pelaksanaan keperluan (EUDR) dan telah menyediakan semua aspek diperlukan selain memastikan kebolehkesanan penuh dari segi penghasilan minyak, bukan hanya dari sumber dalaman tetapi luaran," katanya.

Beliau berkata JPG turut menerima permintaan baik bagi produk minyaknya yang berkualiti serta menerima pensijilan yang berkaitan.

Selain itu, beliau berkata kumpulan itu akan turut mendapat impak susulan pelaksanaan levi keuntungan luar biasa sawit sebanyak tiga peratus bagi harga melebihi RM3,000 satu tan di Semenanjung Malaysia dan lebih RM3,500 satu tan di Sabah dan Sarawak.

Pada 12.22 tengah hari ini, harga saham JPG meningkat sebanyak 8.33 peratus kepada 91 sen dengan 1.31 juta saham saling berpindah tangan.

Di akhir dagangan pada 5 petang hari ini, saham JPG mencecah 90 sen, premium enam sen atau 7.14 peratus dengan 178 juta saham saling berpindah tangan.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan