AM > BERITA

MOHAMED KHALED ADAKAN LAWATAN RASMI KE BRUNEI, KUKUH KERJASAMA PERTAHANAN DUA NEGARA

09/07/2024 08:43 PM

KUALA LUMPUR, 9 Julai (Bernama) -- Sultan Brunei Sultan Hassanal Bolkiah hari ini berkenan menerima menghadap Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin di Istana Nurul Iman, Brunei hari ini bersempena dengan lawatan rasmi ke negara itu.

Kementerian Pertahanan dalam kenyataan hari ini memaklumkan sesi menghadap itu adalah antara program lawatan rasmi Mohamed Khaled ke negara jiran berkenaan bermula semalam bagi mengukuhkan hubungan pertahanan dan ketenteraan dua hala.

“Kedua-dua pihak mengadakan perbincangan meliputi pelbagai perkara terutamanya mengenai kerjasama pertahanan antara kedua-dua negara,” menurut kenyataan itu.

Pada sesi itu, Mohamed Khaled turut menzahirkan penghargaan atas kerjasama erat antara Malaysia dan Brunei di peringkat serantau dan antarabangsa termasuk kerjasama dalam operasi pengaman antarabangsa di Lubnan di bawah Pasukan Interim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNIFIL).

Pada Isnin, Mohamed Khaled bersama delegasi tiba di Pusat Gerakan Udara, Pangkalan Tentera Udara Rimba, Brunei disambut oleh Setiausaha Tetap Kementerian Pertahanan Brunei Brig Jen (B) Datuk Seri Pahlawan Alirupendi Perudin, Pemerintah Tentera Udara Diraja Brunei Brig Jen (U) Datuk Seri Pahlawan Mohammad Sharif Dato Paduka Ibrahim dan Pemangku Pengarah Dasar Pertahanan Kementerian Pertahanan Brunei Dayang Marina Abdullah Sitau.

Mohamed Khaled turut mengadakan sesi kunjungan hormat terhadap Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Pertahanan ll Brunei Pehin Datu Lailaraja Mej Jen (B) Datuk Paduka Seri Awang Halbi Mohd Yussof.

“Semasa sesi terbabit, kedua-dua menteri mengulangi komitmen untuk mengukuhkan hubungan pertahanan dan ketenteraan dua hala sedia ada dan meningkatkan kerjasama melalui platform dua hala dan pelbagai hala.

“Kedua-dua menteri menyatakan bahawa lawatan rasmi itu ialah bukti ikatan kukuh dan hubungan pertahanan dua hala yang dinamik, selain memberi peluang untuk mengukuhkan lagi perkongsian strategik antara dua negara,” menurut kenyataan itu.

Malaysia dan Brunei mempunyai hubungan dua hala yang telah lama terjalin melalui pemeteraian Memorandum Persefahaman dalam bidang kerjasama pertahanan pada 14 Feb 1992.

Menurut kenyataan itu, Mohamed Khaled turut menyatakan hubungan baik Malaysia dan Brunei yang sedia ada perlu terus diperkukuh, selain merakamkan penghargaan kepada kerajaan Brunei dalam misi mencari anggota Batalion Ke-7 Rejimen Sempadan (RS) yang hilang di sempadan Malaysia–Brunei baru-baru ini.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan