AM > BERITA

PINTU PAGAR BALAI DITUTUP 10 MALAM: PENYAMPAIAN PERKHIDMATAN BERJALAN SEPERTI BIASA - KPN

09/07/2024 10:42 PM

KUALA LUMPUR, 9 Julai (Bernama) -- Penyampaian perkhidmatan Polis Diraja Malaysia (PDRM)  berjalan seperti biasa walaupun arahan agar pintu pagar balai polis di seluruh negara ditutup selepas 10 malam.

Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain berkata orang ramai masih boleh membuat aduan dan laporan seperti biasa.

Beliau berkata arahan kepada semua balai itu akan dilaksanakan selepas prosedur operasi standard (SOP) mengenainya dibentangkan Pengarah Jabatan Pengurusan Bukit Aman Datuk Seri Azmi Kassim.

"Seperti yang ditegaskan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, kita seharusnya mengimbangi bahawa balai polis adalah tempat rakyat mengadu dan pada masa sama balai polis turut menjadi sasaran ancaman, jadi kita seimbangkan antara dua keperluan itu," katanya ketika dihubungi.

Razarudin berkata pelaksanaan arahan agar pintu pagar balai ditutup selepas 10 malam setakat ini melibatkan balai di kawasan terpencil dan luar bandar.

Pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini, Saifuddin Nasution berkata Kementerian Dalam Negeri mengarahkan pintu pagar balai polis di seluruh negara ditutup selepas 10 malam sebagai langkah keselamatan berikutan insiden serangan di Balai Polis Ulu Tiram, Johor, baru-baru ini.

Saifuddin Nasution berkata arahan itu dilaksanakan bagi mengimbangi keperluan masyarakat untuk ke balai polis dan menjaga keselamatan anggota yang bertugas.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan