AM > BERITA

HRD CORP: KESUMA LANTIK JURUAUDIT PROFESIONAL PIHAK KETIGA DEMI KETELUSAN

10/07/2024 12:38 PM

PUTRAJAYA, 10 Julai (Bernama) -- Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) akan melantik juruaudit profesional pihak ketiga bagi mengaudit Pembangunan Sumber Manusia Bhd (HRD Corp), demi menjamin ketelusan dalam audit bebas, kata menterinya Steven Sim Chee Keong

Beliau berkata ia susulan laporan Jabatan Audit Negara (JAN) dan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) berhubung operasi HRD Corp dari 2019 hingga 2023.

Sim berkata KESUMA telah diarah menjalankan audit bebas ke atas HRD Corp, yang akan meneliti segala proses, prosedur, dokumentasi dan kepatuhan terhadap undang-undang, serta sebarang garis panduan berhubung isu-isu yang dibangkitkan dalam laporan-laporan JAN dan PAC.

"KESUMA kini dalam proses perolehan untuk melantik juruaudit profesional pihak ketiga dan proses perolehan dijangka selesai selewat-lewatnya 31 Julai ini.

"Tempoh masa audit bebas dan tempoh laporan akan dikeluarkan, bakal ditentukan sebaik sahaja juruaudit telah dilantik," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Sim berkata audit bebas itu akan berjalan seiring dengan siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) dan mana-mana pihak berkuasa lain.

Selain itu beliau berkata HRD Corp telah diarah memberikan kerjasama sepenuhnya kepada semua pihak yang berkaitan.

Beliau berkata satu pasukan petugas khas yang dipengerusikan oleh Ketua Setiausaha KESUMA Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud telah ditubuhkan bagi memudah cara siasatan-siasatan yang sedang berjalan, meneliti laporan-laporan JAN dan PAC, termasuk hasil siasatan SPRM serta audit bebas.

Sim berkata pasukan itu seterusnya akan memastikan tindakan susulan termasuk penambahbaikan dilaksanakan dengan sepenuhnya.

Pada 4 Julai lepas Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 2/2024 mengesyorkan KESUMA supaya merujuk pengurusan HRD Corp kepada agensi penguatkuasaan yang berkaitan ekoran kegagalan syarikat kerajaan itu dalam audit yang dibuat.

Sementara itu PAC turut mendedahkan sejumlah RM3.77 bilion hasil kutipan levi daripada majikan digunakan HRD Corp untuk melabur dalam pelbagai aktiviti pelaburan.

-- BERNAMA 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan