AM > BERITA

PBT DIARAH SENARAI LIMA PROJEK KHIDMAT RAKYAT SELARAS KENAIKAN CUKAI TAKSIRAN - EXCO PBT

10/07/2024 04:36 PM

SHAH ALAM, 10 Julai (Bernama) -- Semua pihak berkuasa tempatan (PBT) di Selangor diarah untuk menyenaraikan lima projek khidmat awam yang akan dilaksanakan dalam tempoh 100 hari selepas kenaikan cukai taksiran baharu dikuatkuasakan

Exco Kerajaan Tempatan dan Pelancongan negeri Datuk Ng Suee Lim berkata langkah itu antara lain bagi membolehkan pembayar cukai mengetahui arah tuju bayaran yang dilakukan di samping menunjukkan kesungguhan PBT memberi perkhidmatan selepas meningkatkan kadar cukai taksiran.

“Saya minta semua PBT huraikan lima projek penting untuk rakyat yang boleh diselesaikan dalam tempoh 100 hari dan projek boleh siap dalam setahun.

“Projek ini berkait dengan perkhidmatan kepada rakyat contohnya penyediaan infrastuktur, naik taraf jalan atau landskap untuk pembayar cukai tahu apa PBT kawasan mereka lakukan,” katanya pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor hari ini.

Ng menjawab soalan tambahan Mu’izzuddeen Mahyuddin (PN-Hulu Bernam) yang ingin tahu hala tuju wang bayaran cukai taksiran yang dinaikkan oleh PBT.  

Dalam pada itu, Ng berkata kenaikan cukai baharu itu perlu memandangkan terdapat PBT yang terpaksa menggunakan separuh daripada belanjawan tahunan bagi memastikan khidmat kepada rakyat lancar serta terurus.

“PBT berdepan kekangan contohnya urus sisa pepejal yang memerlukan kos kewangan tinggi. Ada majlis (PBT) yang perlu tanggung (sendiri) 30 hingga 50 peratus (belanjawan tahunan) untuk kos kutipan.

“Jadi saya minta huraikan projek penting yang beri manfaat terbaik kepada rakyat supaya pembayar cukai dapat nikmati kewajaran bayaran mereka,” katanya.

Media sebelum ini melaporkan semua 12 pihak berkuasa tempatan (PBT) di Selangor terlibat dalam penilaian semula kadar cukai taksiran baharu yang dijangka dapat dilaksanakan selewatnya-lewatnya tahun hadapan.

Ng dilaporkan berkata  tiada PBT terkecuali melakukan penilaian taksiran, namun ia mestilah berasas dan menepati situasi semasa kerana semakan mendapati semua PBT di negeri ini tidak membuat semakan cukai taksiran sejak 30 tahun lalu.  

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan