AM > BERITA

PELABURAN SEKTOR KANDUNGAN DIGITAL NAIK KEPADA RM1.6 BILION PADA 2023 - GOBIND

10/07/2024 04:45 PM

KUALA LUMPUR, 10 Julai (Bernama) -- Pelaburan dalam sektor kandungan digital di Malaysia berkembang dan meningkat hampir dua kali ganda kepada RM1.6 bilion pada 2023 berbanding RM550 juta pada 2022 melalui inisiatif Malaysia Digital oleh Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC).

Menteri Digital Gobind Singh Deo berkata lebih 1,900 pekerjaan berpendapatan tinggi telah dapat diwujudkan dalam sektor ini pada tahun yang sama. 

“Sejak beberapa tahun lepas, Malaysia telah berjaya menarik pelaburan daripada beberapa studio berskala besar seperti Electronic Arts/Codemasters (2011), Streamline Studios (2015), Bandai Namco (2017), Playstation Studios (2019), Larian Studios (2019) dan Virtuous (2022),” katanya dalam sidang media di Bangunan Parlimen hari ini. 

Beliau berkata demikian bagi menjelaskan langkah bagi menyokong pembangun permainan sedia ada di Malaysia terutama pembangunan permainan indie dan rancangan kementerian untuk memupuk lebih ramai pembangun permainan dalam kalangan rakyat di negara ini. 

Mengulas lanjut, Gobind berkata eksport industri kreatif digital Malaysia merekodkan RM1 bilion merentas 120 pasaran pada 2022, dengan sektor berkenaan berkembang pada kadar lapan peratus setiap tahun.  

“Pada masa ini, Malaysia mempunyai lebih 300 studio yang terlibat dalam animasi, permainan dan teknologi kreatif, dengan 20 studio baharu ditubuhkan setiap tahun serta lebih 180 harta intelek asal Malaysia,” katanya. 

Saiz pasaran global bagi industri permainan digital adalah US$455 bilion pada Jun 2024, dengan Kadar Pertumbuhan Tahunan Kompaun sebanyak 11.4 peratus bagi tempoh 2019 hingga 2024, katanya.

Menurut Gobind syarikat tempatan Kurechii Sdn Bhd yang membangunkan permainan digital "Tiny Guardians" telah menembusi pasaran antarabangsa dan memenangi anugerah Indie Prize Awards - The Best in Show by Audience Votes dan Casual Connect 2015. 

Selain itu, beliau berkata syarikat tempatan 7th Beat Game Sdn Bhd yang menghasilkan permainan digital "Rhythm Doctor" turut menembusi pasaran antarabangsa dan mendapat perjanjian penerbitan dengan syarikat dari China, Indienova untuk dipasarkan di China.

“Malaysia mempunyai 20.1 juta pemain (gamer) pada 2020, dengan majoriti iaitu 75 peratus daripadanya bermain permainan mudah alih dan 66 peratus menggunakan komputer peribadi sebagai platform permainan digital,” katanya. 

Beliau berkata antara langkah yang diambil kementerian itu untuk menyokong pembangun permainan negara adalah pelaksanaan Program Cabaran Pencipta Kandungan Digital dengan membantu sebanyak 135 syarikat pemula/ indie permainan digital; dan menyediakan Geran Kandungan Digital (DCG). 

“Bagi memupuk lebih ramai pembangun permainan dalam kalangan rakyat Malaysia, MDEC juga telah merancang untuk melaksanakan Program Inkubasi Pencipta Digital,” katanya. 

-- BERNAMA



 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan