AM > BERITA

SARAWAK KAJI TEKNOLOGI BAHARU BAGI CAPAI SASARAN PENJANAAN TENAGA - ABANG JOHARI

10/07/2024 06:32 PM

KUCHING, 10 Julai (Bernama) – Kerajaan Sarawak sedang mengkaji pelbagai teknologi baharu yang dapat menjana lebih banyak sumber tenaga boleh baharu (TBB) untuk mencapai sasaran menghasilkan 10 gigawatt (GW) tenaga menjelang 2030. 

Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata negeri pada masa ini mempunyai kapasiti terpasang sebanyak 5,700 megawatt (MW) melalui campuran penjanaan daripada sumber hidro, arang batu dan gas.

“Dalam tempoh tiga tahun ini, kami mahu meningkatkan kepada 10 GW dan saya bersama Kabinet saya akan turun padang untuk mengkaji pelbagai teknologi yang dapat menjana TBB bagi menjana tenaga yang diperlukan untuk semua aktiviti ekonomi,” katanya pada majlis perasmian bangunan baharu Melexis Malaysia Sdn Bhd di Zon Perindustrian Bebas Sama Jaya di sini hari ini.

Beliau berkata pada masa ini, Sarawak sedang menjalankan ujian dengan teknologi penjanaan tenaga solar terapung di empangan hidroelektrik Batang Ai.

Abang Johari berkata ujian itu meliputi hanya lebih tiga peratus daripada permukaan air empangan itu untuk menghasilkan kira-kira 50 MW tenaga dan ini berpotensi ditingkatkan kepada 2,000 MW sekiranya 60 peratus daripada permukaan air itu digunakan.

“Dengan pendekatan sedemikian, (buat masa ini) kami hanya mencuba di satu empangan sahaja. Kita ada empat lagi empangan,” katanya, merujuk kepada empangan Bakun, Murum, Baleh dan Bengoh yang sedang beroperasi di Sarawak.

 -- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan