AM > BERITA

PERSATUAN NELAYAN LABUAN AKAN DITUBUHKAN UNTUK MANFAAT 800 NELAYAN TEMPATAN

13/07/2024 05:22 PM

LABUAN, 13 Julai (Bernama) -- Sebuah persatuan nelayan peringkat negeri akan ditubuhkan dalam masa terdekat di Labuan bagi memberi manfaat kepada lebih 800 nelayan di pulau bebas cukai ini, kata Ahli Parlimen Labuan Datuk Dr Suhaili Abdul Rahman.

Beliau berkata penubuhan persatuan berkenaan sudah lama tertangguh dan terdapat pelbagai salah faham tentang keperluan menubuhkan persatuan itu, yang menyebabkan banyak isu membelenggu nelayan tempatan tidak dapat diselesaikan.

“Kita akan melakukan pendaftaran secepat mungkin,” katanya kepada Bernama selepas mesyuarat agung luar biasa jawatankuasa pro tem Persatuan Nelayan Labuan di Kompleks Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) di Kiamsam hari ini.

Beliau berkata mesyuarat berkenaan diadakan berikutan arahan daripada Pengarah LKIM Labuan untuk mendapatkan sokongan daripada Persatuan Nelayan Kawasan Labuan Utara dan Persatuan Nelayan Labuan Selatan.

Pada masa ini, persatuan mewakili nelayan terbahagi dua kumpulan, kedua-duanya di bawah Persatuan Nelayan Negeri Sabah (Pengasah).

Suhaili berkata adalah wajar untuk menggabungkan kedua-dua persatuan berkenaan menjadi satu entiti memandangkan Labuan adalah Wilayah Persekutuan.

Menurut Suhaili beliau merancang untuk mengadakan pertemuan dengan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu untuk menyegerakan penubuhan Persatuan Nelayan Labuan.

Terdahulu, beliau mengumumkan peruntukan RM20,000 daripada pihaknya kepada setiap persatuan nelayan.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan