AM > BERITA

TIDAK DAPAT IKUTI PIAWAIAN KESELAMATAN BOMBA ANTARA FAKTOR PUSAT TAHFIZ TIDAK BERDAFTAR - AHMAD ZAHID

13/07/2024 05:39 PM

KUALA NERUS, 13 Julai (Bernama) -- Tidak dapat mengikuti syarat dan piawaian keselamatan yang ditetapkan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia merupakan antara faktor masih banyak pusat tahfiz di negara ini yang tidak berdaftar, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau berkata perkara itu amat membimbangkan terutama sekiranya berlaku insiden yang tidak diingini sehingga membahayakan nyawa pelajar.

“Di seluruh negara kini terdapat 1,199 maahad (pusat) tahfiz yang berdaftar dengan jumlah huffaz dapat dilahirkan seramai 125,000 orang, namun lebih banyak maahad tahfiz yang tidak didaftarkan kerana syarat yang ditentukan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia tidak dapat diikuti.

“Ini menimbulkan kekhuatiran jika berlaku kebakaran atau sebarang insiden sebagaimana yang pernah kita lihat di (pusat tahfiz) di Keramat (di Kuala Lumpur) yang menyebabkan pelajar terperangkap dalam kebakaran,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Pelancaran Program Pra Tahfiz Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) Negeri Terengganu, di Dewan Sultan Mizan Universiti Malaysia Terengganu, di sini hari ini.

Sementara itu Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah  berkata lebih 140,000 murid Taman Bimbingan Kanak-Kanak (Tabika) Kemas di seluruh negara dapat dilahirkan sebagai huffaz cilik menjelang 2026 melalui Program Pra Tahfiz.

Beliau berkata Program Pra Tahfiz yang bermula secara rasmi pada tahun ini bukan sahaja menyuntik konsep kesyumulan Islam di peringkat pendidikan awal, namun ia dapat mempersiapkan murid-murid dalam mendepani cabaran dunia digital dan teknologi masa kini.

“Kita lihat anak-anak seawal usia dua tahun, pendekatan yang digunakan ibu bapa apabila anak-anak itu meragam dan menangis, diberikan telefon pintar untuk mendiamkan mereka, akhirnya anak-anak itu akan main ‘game’.

“(Sekiranya) Anak-anak tidak diajar dengan ilmu al-Quran, kekhuatiran kita adalah dengan teknologi yang canggih termasuk  AI (teknologi kecerdasan buatan), kita khuatir anak-anak akan menghadapi penyaluran (maklumat) yang salah,” katanya.

Tabika Pra Tahfiz Kemas adalah program untuk memperkasakan Pendidikan al-Quran selain memberi nilai tambah kepada modul sedia ada (Program Penghayatan Islam) di Tabika Kemas.

Ia merangkumi aspek Pendidikan al-Quran dalam melahirkan Huffaz Cilik yang menguasai hafazan al-Quran bagi surah-surah dalam juzuk amma dan surah pilihan (Juzuk 30) dengan Bacaan (Qiraat) Adab dan Tadabbur.

Program itu turut menjadi antara Hala Tuju Strategik (HATS) Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) Tahun 2023 dalam Membangun Modal Insan Desa Secara Komprehensif bagi memperkasakan Pendidikan al-Quran kepada kanak-kanak.

 -- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan