AM > BERITA

MALAYSIA KUTUK SERANGAN ISRAEL TERHADAP KEM PELARIAN AL-MAWASI - PM ANWAR

14/07/2024 03:27 PM

SERDANG, 14 Julai (Bernama) -- Malaysia mengutuk sekeras-kerasnya serangan udara Israel terhadap kem pelarian al-Mawasi semalam, yang mengorbankan nyawa orang awam termasuk wanita dan kanak-kanak.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata serangan berterusan itu merupakan kebiadaban yang diteruskan Israel kerana kegagalan negara-negara besar dalam mempertahankan hak asasi kemanusiaan.

“Oleh itu, kerajaan Malaysia sekali lagi tegaskan pendirian kita keras mengutuk kezaliman berterusan tanpa perikemanusiaan oleh rejim Zionis terhadap penduduk Gaza,” kata beliau kepada pemberita selepas merasmikan Hari Peneroka Felda 2024 di sini hari ini.

Wisma Putra dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan serangan keji dan tidak berperikemanusiaan itu berlaku di kawasan yang ditetapkan oleh Israel sebagai zon selamat untuk rakyat Palestin.

Ditanya mengenai serangan terhadap bekas Presiden Amerika Syarikat Donald Trump, Anwar berkata Malaysia mengecam tindakan seumpama itu dan menyifatkan serangan terbabit bukan jalan penyelesaian. 

“Kita baru dapat maklumat awal. Apapun pendirian kita tentang mana-mana tokoh, ini bukanlah cara penyelesaian,” kata beliau.

Anwar yang juga Menteri Kewangan turut menzahirkan simpati kepada Trump dan mengharapkan keadaan terkawal.

Media antarabangsa hari ini melaporkan Trump mengalami kecederaan dalam kejadian tembakan semasa berkempen di Pennsylvania, Amerika Syarikat semalam.

Trump kini dilaporkan dalam keadaan baik.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan