AM > BERITA

DUA KELUARGA ORANG ASLI TERIMA RUMAH BAHARU SUMBANGAN YAYASAN MY FIRST HOME

14/07/2024 07:32 PM

TAPAH, 14 Julai (Bernama) -- Yayasan My First Home (YMFH) meneruskan usahanya membantu meningkatkan kehidupan golongan kurang bernasib baik melalui inisiatif transformasi dengan membina dua buah rumah untuk komuniti Orang Asli di Kampung Sungai Bindu, Chenderiang, di sini.

Pengasas dan Penasihat YMFH dan Berjaya Corporation Berhad Tan Sri Vincent Tan Chee Yioun berkata dua tahun lepas, mereka mengetahui tentang golongan yang tidak memiliki rumah, terutamanya komuniti Orang Asli yang paling layak menerima bantuan.

"Itulah sebabnya saya mahu datang dan melihat sendiri untuk memahami dan menentukan sama ada kita perlu membantu atau tidak. Sudah tentu kerajaan menjalankan tanggungjawab mereka tetapi kita perlu memahami bahawa kerajaan juga mempunyai bajet yang terhad.

“Jadi, jika pihak korporat dan rakyat Malaysia yang kaya boleh membantu, saya fikir kita patut membantu kerajaan membina rumah untuk golongan berpendapatan rendah dan untuk mereka memiliki rumah,” katanya kepada pemberita selepas majlis penyerahan, di sini hari ini.

Turut hadir, isterinya Puan Sri Esther Tan dan Pengerusi Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Datuk Seri Wong Chun Wai bersama isterinya Datin Seri Florence Teh.

Tan berkata YMFH cuba membantu golongan memerlukan terutama daripada kumpulan B40 untuk memiliki rumah kerana terdapat ramai daripada kumpulan tersebut yang telah diperuntukkan rumah dan berjaya mendapatkan pinjaman 100 peratus, namun apabila rumah siap, mereka tidak mampu untuk berpindah masuk.

"Mereka cuba mengumpul wang untuk berpindah kerana mereka perlu membayar yuran guaman, bayaran setem, deposit (utiliti) dan semua keperluan ini memerlukan antara RM10,000 hingga RM15,000. Rumah mereka mungkin telah siap lapan bulan, tetapi mereka tidak boleh masuk kerana tidak dapat mengumpul dana.

"Golongan berpendapatan rendah, B40 jika anda tanya mereka, saya rasa mereka tidak mempunyai simpanan RM1,000 atau RM2,000. Jadi apa yang kami lakukan ialah meminjamkan mereka RM10,000 hingga RM15,000 tanpa faedah," katanya.

Beliau berkata individu yang mendapat bantuan daripada YMFH perlu membayar balik wang yang dipinjamkan setiap bulan tanpa jumlah tertentu, kerana mereka mahu peminjam komited membayar balik wang tersebut untuk membantu orang lain.

"Kami berharap untuk mengumpul RM50 juta. Kami akan mengadakan satu majlis, kemungkinan minggu depan dan kami akan buat pengumuman ini," katanya.

Tan berkata sejak penubuhan yayasan itu dua tahun lepas, seramai 55 individu menerima bantuan kewangan daripada YMFH, tidak termasuk empat Orang Asli mendapat bantuan secara langsung untuk membina rumah, di seluruh negara.

Sementara itu, Wong berkata beliau menyokong usaha YMFH itu kerana inisiatif tersebut boleh dijadikan teladan oleh pihak korporat lain kerana kebanyakan golongan B40 sukar untuk membeli rumah.

“Saya datang sebab saya nak tengok dengan mata sendiri bagaimana golongan B40 termasuk Orang Asli tinggal di rumah mereka. Ia satu pengajaran kepada saya dan yang penting ialah beliau (Vincent Tan) akan berusaha mendapatkan komitmen daripada pihak yang sedia membantu untuk mengumpul RM50 juta.

“Jadi, saya menggesa golongan mewah untuk menyokong usaha Tan Sri Vincent Tan dan Yayasan My First Home. Inisiatif oleh Tan Sri Vincent Tan ini dapat membantu kerajaan sebab usaha untuk membina rumah kos rendah bukan sahaja tanggungjawab kerajaan, tetapi juga sektor swasta termasuk badan korporat,” katanya.

YMFH ialah yayasan kebajikan yang ditubuhkan sebagai syarikat jaminan terhad yang diperbadankan di bawah Akta Syarikat 2016 pada 23 Dis 2021.

Yayasan ini berfungsi sebagai penggerak untuk mengumpul semua pihak yang berkepentingan iaitu pemaju perumahan, pembiaya, penderma, organisasi bukan kerajaan (NGO), agensi-agensi kerajaan Negeri dan Persekutuan yang berkaitan dan pihak-pihak lain yang berminat di dalam gabungan dan usaha holistik bagi memenuhi matlamat utama yayasan, iaitu mempromosi dan memudahkan pembangunan rumah mampu milik dan pembelian rumah tersebut oleh golongan isi rumah B40.

YMFH dalam kenyataan memaklumkan mereka akan membina tambahan empat buah rumah di Kampung Sungai Bindu dan 16 lagi di empat hingga lima lokasi lain, sebagai komitmen berterusan untuk mengubah kehidupan melalui penyelesaian perumahan lestari.

Dalam pada itu, seorang penerima dari suku kaum Semai, Bahtian a/l Bahtalin, 39, berkata beliau bersama isteri dan tiga anak perempuannya pastinya akan menjalani kehidupan yang lebih selesa dengan mendiami rumah baharu yang diperbuat daripada batu berbanding rumah lama yang tiada bilik dan dibina menggunakan buluh.

“Di rumah lama kalau hujan, kadang-kadang air masuk ke rumah tetapi kalau lihat rumah baharu ini, mungkin masalah ini tidak berlaku. Rumah baru diperbuat daripada batu dan ada tiga bilik, jadi semua akan selesa,” katanya pekebun itu, ketika ditemui pada program itu, hari ini.

Seorang lagi penerima dari suku kaum Semai, Bahjuga a/l Bahchem, 40, berkata dia bersama dua anaknya (lelaki dan perempuan) tidak menyangka kata-kata mendiang isterinya tiga tahun lalu menjadi kenyataan.

"Gembira dan bersyukur (dapat rumah baharu) sebab selama ini mendiang ada cakap “mungkin saya mati kamu orang dapat rumah untuk duduk, akhirnya betul terjadi,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan