AM > BERITA

ADAM SAFFIAN DILANTIK CEO BAHARU AIR SELANGOR BERKUAT KUASA HARI INI

15/07/2024 05:58 PM

SHAH ALAM, 15 Julai (Bernama) -- Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) mengumumkan pelantikan Adam Saffian Ghazali selaku Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) baharu berkuat kuasa hari ini.

Air Selangor menerusi satu kenyataan hari ini memaklumkan pelantikan Adam Saffian itu menggantikan Pemangku CEO Abas Abdullah yang berkhidmat dari 1 Jan 2023 hingga 30 Jun 2024.

Adam Saffian mempunyai pengalaman selama 24 tahun dalam industri perkhidmatan air dan utiliti serta telah memegang pelbagai jawatan penting antaranya Ketua Pegawai Eksekutif Aliran Ihsan Resources Berhad, Pengurus Besar Projek Khas di MMC Corporation Berhad serta CEO Alam Flora Sdn Bhd.

Beliau juga merupakan lulusan Ijazah Sarjana dalam Cukai Gunaan daripada University of New South Wales serta Ijazah Sarjana Muda Perniagaan (Perakaunan dan Kewangan) daripada University of Technology Sydney.

“Adam Saffian juga merupakan Akauntan Bertauliah Australia dan New Zealand serta Institut Akauntan Malaysia,” menurut kenyataan itu.

Adam Saffian menerusi kenyataan sama turut menzahirkan rasa berbesar hati dan terujanya menyertai Air Selangor serta berusaha untuk memastikan setiap titis bermakna buat 9.3 juta pengguna di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya.

“Bersama, kami akan memberi tumpuan untuk mempertingkatkan kualiti perkhidmatan, pendekatan inovasi dan memastikan pengurusan air yang mampan untuk generasi kini dan akan datang,” katanya. 

-- BERNAMA


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan