AM > BERITA

USAHA GALAK PENGELUARAN DURIAN MUSANG KING, DURI HITAM ANTARA TUMPUAN DEWAN RAKYAT HARI INI

17/07/2024 09:35 AM

KUALA LUMPUR, 17 Julai (Bernama) -- Usaha dan langkah kerajaan dalam menggalakkan pengeluaran durian Musang King dan Duri Hitam bagi pasaran antarabangsa antara tumpuan persidangan Dewan Rakyat hari ini.

Menurut Aturan Urusan Mesyuarat di laman sesawang Parlimen, soalan itu diajukan pada sesi soal jawab oleh Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal (PN-Bukit Gantang) kepada Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan kerana raja buah itu mempunyai nilai tinggi untuk dipasarkan di peringkat global. 

Pada sesi yang sama Suhaizan Kaiat (PH-Pulai) pula meminta penjelasan Menteri Kesihatan mengenai rancangan mewujudkan Pembiayaan Penjagaan Kesihatan Negara bagi memberi perkhidmatan kesihatan yang terbaik kepada rakyat serta cabaran yang dihadapi.

Turut menjadi tumpuan ialah soalan Datuk Seri Bung Moktar Radin (BN-Kinabatangan) kepada Menteri Ekonomi mengenai langkah kerajaan dalam menoktahkan kemiskinan tegar di Sabah terutama lapan daerah yang dikategorikan termiskin di Malaysia.

Selain itu Datuk Shamshulkahar Mohd Deli (BN-Jempol) bertanya kepada Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri mengenai tindakan kerajaan untuk menggalakkan pelaburan berkaitan kecerdasan buatan (AI) di Malaysia. 

Usai sesi soal jawab, persidangan diteruskan dengan pembentangan Rang Undang-Undang Ordinan Buruh Sabah (Pindaan) 2024 bagi bacaan kali pertama, sebelum persidangan disambung dengan perbahasan Rang Undang-Undang Perubatan (Pindaan) 2024. 

Mesyuarat Kedua Penggal Ketiga Parlimen ke-15 berlangsung selama 15 hari hingga Khamis ini.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan