AM > BERITA

TERCUNGAP-CUNGAP, SEMPUT DAN SESAK NAFAS MUNGKIN PETANDA AWAL ASMA - PAKAR PERUBATAN

17/07/2024 04:36 PM

KUALA LUMPUR, 17 Julai (Bernama) -- Gejala tercungap-cungap, semput atau sesak nafas adalah sesuatu yang lazim dihadapi oleh setiap individu apabila mengalami keletihan, namun hakikatnya ia juga mungkin menjadi petanda yang boleh menjurus kepada masalah yang lebih serius iaitu penyakit asma.

Asma atau semput merupakan keradangan pada paru-paru yang membengkak sehingga menyempitkan saluran pernafasan yang mengakibatkan sesak nafas, batuk, atau menghasilkan bunyi decitan yang kedengaran seperti siulan apabila sedang bernafas.

Pakar Perunding Perubatan Kecemasan Pusat Perubatan Sunway, Bandar Sunway Dr Lim Eu Jack  menerusi kenyataan baru-baru ini menerangkan bahawa asma tidak tergolong dalam penyakit kongenital atau bawaan sejak lahir kerana seseorang boleh mendapat penyakit berkenaan apabila semakin bertambah usia.

“Serangan asma boleh berlaku kepada seseorang seawal usia kanak-kanak atau remaja, malah ia juga boleh terjadi kepada golongan dewasa.

“Sebagai contoh, seseorang yang mempunyai sejarah keluarga dengan asma atau mempunyai alergi rhinitis, ekzema ataupun dikenali sebagai atopik lebih berisiko mendapat asma sepanjang hayat mereka,” katanya menambah selain genetik, terdapat juga jenis asma yang boleh dikelaskan mengikut faktor rangsangan lain.

Faktor rangsangan lain katanya, alergi terhadap debunga atau bulu haiwan dan persekitaran seperti cuaca yang terlampau sejuk, pencemaran udara dengan habuk dan asap, selain jangkitan atau terdedah terlalu lama di tempat kerja dengan bahan perengsa yang boleh disedut seperti asap, bahan kimia, debu atau sisa produk, misalnya habuk kayu atau serbuk besi.

Dr Lim berkata senaman yang terlalu intensif sehingga melelahkan, jangkitan pernafasan serta sewaktu kehamilan yang mungkin boleh dipulihkan selepas melahirkan anak juga antara faktor rangsangan asma. 

Beliau berkata sekiranya terdedah kepada faktor pencetus tertentu, seseorang yang berisiko mungkin menunjukkan simptom serangan asma seperti kesukaran bernafas, batuk berkahak, berdecit, bibir menjadi kebiruan atau jika lebih teruk boleh menyebabkan pitam.

Bagi mendiagnos asma dan membezakannya daripada keletihan biasa, pakar respiratori boleh mengenal pasti melalui kaedah ujian spirometri terhadap pesakit dengan menilai fungsi paru-paru dan memeriksa kesihatan saluran pernafasan mereka.

Dr Lim berkata bagi mengubati asma, perkara pertama yang perlu dilakukan adalah menjauhi faktor yang boleh mencetuskan serangan seperti sekiranya seseorang pesakit itu merokok, maka ia perlu dihentikan.

Beliau turut berkongsi terdapat dua jenis ubat-ubatan bagi penghidap asma iaitu ubat pencegah untuk kawalan asma yang berterusan yang perlu diambil secara konsisten mengikut ketetapan masa yang telah ditetapkan biarpun sewaktu tidak bergejala.

Selain itu, terdapat ubat pemulih bagi meredakan gejala apabila serangan asma berlaku dan juga penggunaan inhaler atau alat sedut yang merupakan kaedah berkesan merawatnya.

“Alat sedut pemulih biasanya didapati dalam warna biru yang mengandungi ubat bernama Salbutamol ataupun dikenali sebagai Ventolin. Ia merupakan ubat pelega jenis bronkodilator yang digunakan untuk melebarkan saluran pernafasan dalam paru-paru ketika serangan berlaku.

“Alat sedut pencegah pula biasanya berwarna jingga atau coklat dengan kandungan kortikosteroid dan berfungsi untuk mengurangkan keradangan pada saluran pernafasan dengan kedua-dua jenis alat sedut ini turut tersedia dengan dos bermeter bagi memudahkan isipadu kandungan dipantau,” katanya.

Sebagai langkah pencegahan dan meningkatkan kualiti hidup penghidap asma, beliau menyarankan pengidap asma mengamalkan gaya hidup sihat serta menjauhi faktor pencetus gejala selain mengamalkan diet seimbang melalui pengambilan makanan yang kaya antioksidan, vitamin D dan minyak omega 3 seperti ikan salmon, biji chia atau biji rami.

“Salah tanggapan bahawa penghidap asma tidak boleh bersenam juga tidak tepat, bahkan sangat digalakkan sekiranya dilakukan bersesuaian dengan keadaan. Senaman dapat menguatkan otot pernafasan, meningkatkan daya tahan kardiovaskular, serta membantu mengekalkan berat badan ideal.

“Paling penting, mulakan dengan aktiviti regangan pemanas badan terlebih dahulu sebelum memulakan sebarang senaman,” katanya.

-- BERNAMA  


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan