AM > BERITA

ANUGERAH DESA KEDA MADANI PERKASA PENEMPATAN DESA KEDA

17/07/2024 07:29 PM

ALOR SETAR, 17 Julai (Bernama) -- Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA) yakin penganjuran Anugerah Desa KEDA MADANI (ADKM) mampu memperkasakan penempatan desa di bawah agensi itu ke arah pembudayaan desa sejahtera, cemerlang dan berdaya maju.

Pengerusi KEDA Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata pertandingan dwitahunan itu juga diyakini mampu menoktahkan kemiskinan tegar dengan penghasilan produk-produk desa di samping penggunaan Internet untuk pemasaran.

"Menerusi hadiah yang dimenangi, ia boleh digunakan untuk menjana pendapatan mereka, sebagai contoh melaksanakan projek ekopelancongan dengan pembabitan lebih ramai penduduk terutama anak muda di desa berkenaan," katanya kepada pemberita selepas Majlis Penyampaian Anugerah Desa KEDA MADANI 2024 di sini hari ini. 

Mengulas lanjut, Jamil Khir berkata penganjuran pertandingan itu turut diharap akan menjadi contoh kepada desa KEDA yang lain dalam usaha pengupayaan kepimpinan sosial dan ekonomi kampung. 

"Kita ada 56 Desa KEDA di negeri ini dan menyasarkan kesemuanya perlu ada produk sendiri dan mempromosikan (produk itu) di media sosial…maknanya satu kampung, satu produk yang akan menggerakkan misi kita sama-sama untuk menoktahkan kemiskinan tegar,” katanya.

Pada majlis itu, Desa KEDA Nagalilit mewakili Zon 6 Kulim diumumkan sebagai juara pertandingan manakala Desa KEDA Tanjung Setol (Zon 3 Pendang/Pokok Sena) meraih naib johan dan tempat ketiga dimenangi Desa KEDA Ulu Bakai (Zon 5, Baling). 

Sebanyak sembilan desa KEDA terpilih untuk bertanding mewakili zon mereka bagi merebut hadiah keseluruhan berjumlah RM195,000.

Sementara itu, Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pasukan Perancang Pelaksana Program (4P), Desa KEDA Nagalilit, Hasrul Nasir Shamsuddin berkata pihaknya bersyukur dipilih untuk menjadi johan pertandingan itu selepas berusaha keras bersama pasukannya. 

"Kami perlu pastikan desa kami sentiasa bersih dan kami juga ada landskap yang cantik selain penduduk juga mempunyai produk sendiri seperti tanaman nenas, kolam ikan, kelapa pandan dan lain-lain. 

"Insya-Allah, kami akan gunakan peruntukan tambahan sebanyak RM80,000 yang diberikan hari ini untuk jana produk baharu pelancongan sebab kampung kami ada sungai dan kawasan yang menarik," katanya. 

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan