AM > BERITA

MAIS SEDANG TELITI KENYATAAN BERTULIS USTAZ DON

17/07/2024 10:52 PM

SHAH ALAM, 17 Julai (Bernama) -- Jawatankuasa Tauliah Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) sedang meneliti kenyataan bertulis daripada penceramah bebas Don Daniyal Don Biyajid atau lebih dikenali Ustaz Don berhubung fakta ceramah agama yang disampaikannya sebelum ini.

Pengerusinya Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof berkata pihaknya akan membuat keputusan yang terbaik berdasarkan kenyataan yang diterima daripada pendakwah itu baru-baru ini.

“Kita belum berjumpa Ustaz Don secara fizikal tetapi keterangan bertulis sudah diterima dan kini Jawatankuasa Tauliah MAIS sedang meneliti. Insya-Allah kita akan buat keputusan seadil-adilnya," katanya kepada pemberita pada majlis pelancaran Kad Hibah dan Bulan Hibah Selangor 2024 di sini hari ini.

Abdul Aziz berkata MAIS juga akan mengadakan mesyuarat khas pada 24 Julai ini bagi membincangkan isu pentauliahan termasuk membabitkan Don Daniyal.

Beliau berkata Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah turut menitahkan MAIS supaya membuat penilaian dengan teliti, berhati-hati dan menyeluruh berkaitan isu pentauliahan.

"Kita tidak mahu mereka mengajar cara tidak betul atau tidak sebagaimana seperti temu duga. Jika melanggar peraturan, kita akan tamatkan (tauliah) mereka atau gantung dahulu seperti dalam kes Ustaz Don,” katanya.

Pada 25 Jun lepas, Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) dilaporkan telah mengeluarkan arahan kepada semua agensi, masjid, surau dan musala bagi menangguhkan atau tidak membuat apa-apa tindakan mengundang Don Daniyal untuk mengajar apa-apa perkara tentang agama Islam di premis masing-masing.

Arahan itu dibuat berikutan beberapa isu mengenai pengajaran atau ceramah agama Islam yang disampaikan oleh Don Daniyal disyaki membawa kepada perlanggaran beberapa ketetapan di dalam Peraturan-Peraturan Tauliah (Negeri Selangor) 2008.  

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan