AM > BERITA

DOKUMENTARI KHAS 'DI SEBALIK MAHKOTA', SEMPENA ISTIADAT PERTABALAN YANG DI-PERTUAN AGONG KE-17

18/07/2024 11:30 AM

KUALA LUMPUR, 18 Julai (Bernama) -- Bernama TV akan menyiarkan dokumentari khas bertajuk ‘Di Sebalik Mahkota’ sempena Istiadat Pertabalan Yang di-Pertuan Agong ke-17 Sultan Ibrahim, Jumaat ini.

Dokumentari yang menyajikan naratif lebih dekat mengenai keperibadian Sultan Ibrahim yang mungkin tidak diketahui umum itu, akan disiarkan di saluran Astro 502, Unifi TV 631, Mytv 121 dan Facebook Bernama TV.

Istiadat Pertabalan Yang di-Pertuan Agong pada Sabtu ini di Istana Negara, merupakan istiadat penuh simbolik yang diadakan hanya lima tahun sekali.

Menurut satu kenyataan Bernama TV hari ini, dokumentari itu akan memberi peluang kepada rakyat Malaysia memahami lebih mendalam mengenai istiadat pertabalan dan memupuk rasa cinta terhadap institusi diraja, dan cara ia diamalkan di negara ini di bawah konsep Raja Berperlembagaan.

Ia juga mengambil inspirasi daripada sejarah Kesultanan Johor moden serta menyelami keunikan pemerintahan Sultan Ibrahim yang menaungi Johor dengan bijaksana dan penuh kasih sayang terhadap rakyat jelata.

Beberapa tokoh penting berkongsi pengalaman mereka bersama Sultan Ibrahim, antaranya Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi dan Yang Dipertua Jumaah Majlis Diraja Johor Datuk Dr Abdul Rahim Ramli.

Turut ditemu bual Pegawai Peribadi kepada Sultan Ibrahim yang juga Pengerusi Yayasan Sultanah Rogayah Datuk R. Sugumaran Raman, Pengerusi Yayasan Sultanah Fatimah Mejar Cina Datuk David Wong Khong Soon dan Penolong Datuk Paduka Maharaja Lela Istana Negara Sofian Abdul Rahman.

Penggambaran dokumentari itu dijalankan di pelbagai lokasi di Johor.

Sempena istiadat pertabalan itu, Bernama juga menyediakan satu mikrosit khas daulattuanku.bernama.com bertajuk Daulat Tuanku yang menghimpunkan berita berkaitan hari penting berkenaan sama ada dalam Bahasa Malaysia atau Bahasa Inggeris.

Sementara itu, pada hari pertabalan Sabtu 20 Julai, Bernama TV akan membawakan siaran langsung istiadat pertabalan tersebut melalui siaran Granstan Khas yang akan bermula pada 8.30 pagi. 

Program granstan ini akan membincangkan mengenai institusi diraja negara ini bersama beberapa tokoh terkemuka antaranya Pensyarah Kanan dan Panel Pakar Kursi Institusi Raja-Raja Melayu Universiti Teknologi Mara Dr Ismail Ma'arof, sebelum membawa penonton ke Istana Negara untuk menyaksikan sendiri istiadat penuh tradisi berkenaan. 

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan