AM > BERITA

BULI SIBER: KERAJAAN TELITI GUBAL UNDANG-UNDANG BAHARU - FAHMI

18/07/2024 01:57 PM

KUALA LUMPUR, 18 Julai (Bernama) -- Kerajaan akan meneliti keperluan untuk menggubal undang-undang baharu bagi menangani insiden buli siber, Dewan Rakyat dimaklumkan hari ini.

Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil berkata undang-undang itu antara lain perlu menitikberatkan kepada perubahan medium komunikasi pada masa hadapan dan bersesuaian dengan keperluan semasa.

Beliau berkata ini antara perkara dibincang dalam Mesyuarat Berkaitan Isu Buli Siber yang dipengerusikan secara bersama oleh beliau, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dan Menteri Digital Gobind Singh, semalam.

Beliau berkata demikian menjawab soalan Ahmad Fadhli mengenai inisiatif kerajaan dalam menggubal undang-undang khusus melibatkan kerjasama rentas kementerian bagi menangani insiden buli siber pada Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri.

Fahmi berkata antara undang-undang sedia ada terkait buli siber ialah Seksyen 503 dan 509 Kanun Keseksaan, iaitu kesalahan menakutkan secara jenayah dan perkataan atau isyarat yang dimaksud mengaibkan kehormatan seseorang; serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998  iaitu penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian dan lain-lain.

“Ini adalah antara contoh peruntukan sedia ada yang boleh diguna pakai bagi menangani kesalahan-kesalahan yang berkaitan dengan buli siber ini, bergantung kepada bentuk buli yang dilakukan,” katanya.

Bernama sebelum ini melaporkan pempengaruh A Rajeswary, atau turut dikenali sebagai Esha ditemukan meninggal dunia di sebuah unit kondominium di Setapak pada 5 Julai, sehari selepas membuat laporan polis berhubung buli siber yang dihadapinya.

Pemilik rumah kebajikan P. Shalini yang dikaitkan dengan kematian Esha, bagaimanapun hanya dijatuhi hukuman denda maksimum RM100 oleh Mahkamah Majistret di sini Selasa lepas, selepas mengaku bersalah atas pertuduhan dengan sengaja mengeluarkan kata-kata kesat menerusi akaun TikTok alphaquinnsha, dengan tujuan membangkitkan kemarahan untuk mengganggu keamanan.

Dalam pada itu, Fahmi berkata selain isu buli siber, sebenarnya terdapat banyak lagi isu berkaitan platform media sosial, termasuk penipuan (scam) dan judi dalam talian, yang Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan juga Kabinet berpendirian bahawa platform-platform ini tidak boleh cuci tangan.

“Jadi banyak perkara yang kita minta platform-plaform ini segera betulkan. Saya lihat ada keperluan mengambil tindakan lebih tegas, ini juga kita di pihak Kabinet kita meneliti dan insya-Allah kita akan mengambil tindakan lebih tegas,” katanya.

Sementara itu, Fahmi turut memohon bantuan ahli Parlimen untuk memastikan kanak-kanak di bawah usia 13 tahun tidak memiliki akaun media sosial, selaras syarat semua platform media sosial yang juga tidak membenarkan golongan tersebut berbuat demikian.

“Malangnya, platform-platform ini sendiri culas untuk membuat pengesahan tentang umur pemilik akaun yang dimaksudkan.

“Jadi saya minta bantuan ahli-ahli Yang Berhormat, marilah kita sama-sama pastikan Internet kita bukan sahaja lebih laju lebih meluas, tetapi juga lebih selamat untuk kanak-kanak dan keluarga kita,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan