AM > BERITA

PELAN TRANSFORMASI EKONOMI BUMIPUTERA DIBENTANG MINGGU HADAPAN - AHMAD ZAHID

18/07/2024 04:27 PM

PUTRAJAYA, 18 Julai (Bernama) -- Pelan Transformasi Ekonomi Bumiputera 2035, yang dapat memberi keberhasilan tuntas kepada pembangunan negara, bukan sahaja dari sudut ekonomi Bumiputera tetapi manfaat kepada pembangunan negara secara holistik, akan dibentangkan dalam Mesyuarat Majlis Ekonomi Bumiputera pada minggu hadapan.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata inisiatif dan strategi yang bersesuaian untuk dimasukkan dalam pelan itu, telah dibincangkan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Pemandu (Unit Pengurusan Prestasi Dan Pelaksanaan) Majlis Ekonomi Bumiputera (JPMEB), yang diadakan di Bangunan Parlimen, Kuala Lumpur hari ini.

Mesyuarat itu, yang turut dihadiri Menteri Ekonomi Rafizi Ramli, Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, Ketua Setiausaha yang terpilih dan wakil syarikat berkaitan kerajaan (GLC), diadakan susulan penganjuran Kongres Ekonomi Bumiputera (KEB) 2024, pada awal Mac lepas.

“Tumpuan mesyuarat ini bagi membincangkan Draf Pelan Transformasi Ekonomi Bumiputera dan mendapatkan persetujuan berkaitan strategi dan inisiatif yang bersesuaian, sebelum dibentangkan di dalam Mesyuarat Majlis Ekonomi Bumiputera pada minggu hadapan,” katanya dalam kenyataan menerusi Facebook.

Ahmad Zahid berkata penganjuran KEB 2024, telah menggariskan beberapa tumpuan utama untuk memperkasa ekonomi bumiputera seperti pendidikan dan latihan teknikal dan vokasional (TVET), pengurusan tanah, wakaf, mengindustrikan pertanian dan ternakan, penubuhan suruhanjaya ekonomi gig dan industri halal.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan