AM > BERITA

92 PROJEK PEMBANGUNAN DI KELANTAN AKAN DIMULAKAN TAHUN INI

18/07/2024 08:42 PM

KOTA BHARU, 18 Julai (Bernama) -- Sejumlah 92 projek pembangunan baharu di Kelantan berjumlah RM2.8 bilion diluluskan kerajaan Persekutuan dalam Rolling Plan Ke-4, Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) akan dimulakan tahun ini.

Pengarah Jabatan Pembangunan Negeri Kelantan (ICU JPM) Jasri Kasim berkata semua projek berkenaan akan dimulakan selepas prosedur rutin dilakukan termasuk proses tender.

"Kelantan mendapat peningkatan peruntukan lebih tinggi tahun ini iaitu RM0.24 bilion untuk projek pembangunan Rolling Plan Ke-4 berbanding RM2.5 bilion pada tahun lepas.

"Terdapat 16 projek utama yang akan dilaksanakan menerusi peruntukan baharu ini termasuk Pembangunan Lembangan Sungai Bersepadu Rancangan Tebatan Banjir Kota Bharu dengan kos kira-kira RM1.06 bilion, projek Sungai Golok Fasa 3 dan kerja menaik taraf jalan di Bandar Baru Tunjong," katanya. 

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Majlis Apresiasi Pejabat Pembangunan Negeri (ICU JPM) 2024 di sini, hari ini.

Jasri berkata projek pembangunan itu juga melibatkan kerja awalan menaik taraf Jalan Salor di sini, pembinaan baharu Sekolah Menengah Kebangsaan Binjai, pembinaan Blok Patologi Tambahan Hospital Raja Perempuan Zainab II, selain membina sistem bekalan air luar bandar di Kampung Manek Urai dan Laloh di Kuala Krai.

Beliau berkata setakat ini kerajaan Persekutuan telah meluluskan 445 projek pembangunan di negeri ini termasuk 92 projek baharu tersebut dan 353 projek sambungan.

Katanya berdasarkan prestasi semasa, sebanyak 47.72 peratus atau lebih kurang RM1.1 bilion peruntukan telah dibelanjakan bagi projek-projek terbabit.

-- BERNAMA

 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan