BERITA TERGEMPAR   PRK Nenggiri: Jentera PH akan digerakkan bantu kempen calon BN- Fahmi | 
 AM > BERITA

TUGAS MEDIA TIDAK DAPAT DIAMBIL ALIH SEPENUHNYA OLEH AI

19/07/2024 12:41 PM

KUALA LUMPUR, 18 Julai (Bernama) -- Memang tidak dapat dinafikan lagi penggunaan kecerdasan buatan (AI) memberikan banyak kelebihan di tempat kerja, termasuk keupayaan untuk memproses set data saintifik yang besar dengan pantas.

Bagaimanapun apabila pekerjaan itu memerlukan kemahiran seperti kepintaran emosi, sistem AI mungkin tidak berkesan, dan manusia kekal sebagai pilihan terbaik bagi melaksanakan sesetengah pekerjaan.

Pengurus Pembangunan Perniagaan Huawei Asia Pasifik (Cloud Business Development Dept 2) Thomas Tham berkata ini termasuk pekerjaan pengamal media, walaupun tidak dapat dinafikan bahawa Al semakin banyak digunakan bagi menjana dan meningkatkan kandungan media seperti artikel, video dan muzik.

Beliau berkata AI analisis menawarkan maklumat mendalam tentang tingkah laku, pilihan dan sentimen khalayak, membolehkan pengendali media membuat keputusan dengan maklumat penuh, mengenai strategi kandungan, kempen-kempen pemasaran dan taktik penglibatan khalayak ramai.

Bagaimanapun beliau berkata tinjauan baru-baru ini mendapati bahawa 70 peratus pengamal media masih memilih untuk menyampaikan berita secara sendiri.

“Katakan dalam laporan mengenai bencana alam, sudah pasti saya tidak mahu AI mengukir senyuman atau menggunakan terma tertentu yang tidak akan disenangi pengguna. Jadi saya rasa ia adalah sesuatu yang amat penting.

“Kami ada enjin AI milik sendiri yang dinamakan Natural Language Processing (Pangu NLP), yang sedang beroperasi dalam enjin carian kami. Jadi apa yang perlu ialah perlindungan jenama, yang memangnya amat penting, kerana apabila anda mencipta dan menyampaikan kandungan, ia mungkin akan digunakan oleh pesaing anda atau pihak lain.

“Apabila lebih ramai mula menggunakan media sosial, mereka juga mahu menjadi seumpama satu bentuk wartawan komuniti atau mereka mahu melakukan perkara tertentu seperti strim secara langsung, dan kemudian mereka mahu meningkatkan jumlah pembaca atau tontonan. Inilah permulaan AI ini berkembang. AI memang selama ini menjadi teknologi yang sangat mahal, namun untuk menjadikan AI lebih berkesan, ia perlu mempunyai banyak data pengguna,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika hadir sebagai tetamu pada Mesyuarat Kelab Concorde mengenai ‘AI and The Media: The Future’ di sebuah hotel di sini, hari ini.

Mesyuarat itu dipengerusikan oleh Pengerusi Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Datuk Seri Wong Chun Wai. 

Tham berkata menurut tinjauan Hootsuite, 75 peratus pengamal media berhasrat menggunakan AI untuk semakan teks komprehensif menjelang 2024, meningkat 103 peratus berbanding 2023.

Selain itu beliau berkata kajian baru-baru ini juga mendapati bahawa lebih daripada 40 peratus pengendali media sosial menggunakan AI untuk menulis kapsyen.

Sementara itu Wong turut mengakui kepentingan AI dalam melaksanakan tugas-tugas media, dengan menyatakan bahawa Huawei sendiri menyediakan perisian latihan yang sangat baik kepada organisasi media seperti Bernama.

“Beliau (Tham) memberikan saya video di mana saya perlu membuat persidangan di China dan mereka meletakkan video saya bercakap bahasa Mandarin yang fasih. Di Huawei, terdapat bahagian utama yang mereka gunakan untuk menunjukkan cara bagaimana AI berfungsi,” katanya.

-- BERNAMA 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan