AM > BERITA

PENGGANTUNGAN WAN AHMAD FAYHSAL WAJAR - ANGKATAN MUDA HARAPAN

19/07/2024 02:36 PM

KUALA LUMPUR, 19 Julai (Bernama) -- Penggantungan Ahli Parlimen Machang Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal daripada menghadiri sidang Dewan Rakyat selama enam bulan hukuman yang wajar berikutan tindakan tidak profesional dan melanggar etika Parlimen, kata Ketua Penerangan Angkatan Muda Harapan Ammar Atan.

Beliau berkata tindakan Ahli Parlimen Machang itu juga boleh dianggap menghina Parlimen yang dinaungi oleh Majlis Raja-raja Melayu selain mewujudkan penghinaan terhadap penjawat awam.

Naib Ketua Pemuda Parti Amanah Negara (Amanah) itu berkata Wan Ahmad Fayhsal sepatutnya bersikap matang dan berintegriti dengan mendapatkan sumber sahih dan bukan bersandarkan surat layang dalam perbahasan Parlimen serta menamakan penjawat awam yang kononnya “dalang” mengancam kedaulatan negara.

“Hakikatnya, beliau tidak dapat membuktikan kesahihan maklumat yang dinyatakan dalam surat layang itu yang jelas fitnah dan adu domba untuk memburukkan penjawat awam,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Johari Abdul mengumumkan Wan Ahmad Fayhsal digantung  susulan tindakan Ahli Parlimen Machang itu membangkitkan isu sepucuk surat layang di Dewan Rakyat, kononnya dalang sebenar di sebalik pengambilalihan Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB).

Keputusan itu dibuat selepas usul menggantung Wan Ahmad Fayhsal daripada Majlis Mesyuarat dan Jawatankuasa Pilihan mendapat sokongan 110 Ahli Parlimen, manakala 63 tidak bersetuju menerusi undi belah bahagian, tiga tidak mengundi dan 46 tidak hadir.

Ammar berkata ini juga bukan kali pertama Ahli Parlimen daripada Perikatan Nasional (PN) melanggar etika Parlimen.

Pada Februari lepas, Ahli Parlimen Tasek Gelugor yang juga Ahli Majlis Tertinggi Bersatu Datuk Wan Saiful Wan Jan hampir digantung selama enam bulan akibat memfitnah Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai korup dan salah guna kuasa tanpa bukti.

Namun, Wan Saiful mengemukakan permohonan maaf atas tindakan berkenaan dan berikutan itu usul untuk menggantungnya ditarik balik.

“Justeru, Angkatan Muda Harapan menasihatkan Tan Sri Muhyiddin Yassin dan parti Bersatu untuk menjalankan program khas bagi mendidik barisan Ahli Parlimennya agar lebih berintegriti dan tidak memfitnah sewaktu berbahas di Dewan Rakyat. Cukup-cukuplah menabur fitnah,” kata Ammar.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan