AM > BERITA

KKM SASAR TAMBAH BAIK KETEPATAN MASA LAPORAN MNCR

19/07/2024 02:41 PM

PUTRAJAYA, 19 Julai (Bernama) -- Kementerian Kesihatan (KKM) menyasarkan untuk menambah baik ketepatan masa laporan Registri Kanser Kebangsaan Malaysia (MNCR), dengan usaha akan ditumpukan kepada penerbitan yang lebih kerap.

KKM dalam kenyataan hari ini memaklumkan inisiatif tersebut bertujuan menyediakan data terkini, dengan tindakan yang diambil adalah selari dengan strategi bersasar serta meningkatkan hasil dalam pencegahan dan penjagaan kanser. 

"Sepanjang usaha ini, KKM akan mengekalkan ketepatan dan kelengkapan maklumat bagi memastikan integriti dan kebolehpercayaan data," katanya.

Menurut kenyataan itu, data kanser terkini di Malaysia adalah penting untuk memandu, merancang dan melaksanakan langkah yang lebih berkesan untuk pencegahan, kawalan dan rawatan kanser.

Menurut KKM secara amnya, Malaysia menyaksikan peningkatan ketara dalam kes kanser yang dilaporkan dari 2017 hingga 2021, sebahagiannya disebabkan oleh pelaksanaan sistem notifikasi baharu dan arahan pekeliling. 

"Malaysia terus bergelut dengan beban kanser yang besar. Oleh itu, adalah penting bagi pihak berkepentingan untuk terlibat secara aktif dalam pencegahan, kawalan dan rawatan kanser dengan memanfaatkan data ini secara strategik dalam perancangan," katanya.

MNCR telah ditubuhkan pada 2007, bermula dengan pelaporan manual. Sepanjang tempoh 2007 hingga 2018, dua laporan lima tahun telah diterbitkan untuk menggambarkan beban kanser di Malaysia.

Pada 2018, pelaporan kes kanser dalam talian melalui laman sesawang Malaysian Health Data Warehouse telah diperkenalkan bagi memperkemas proses pengumpulan data. 

Selain itu, pekeliling pada 2020 mewajibkan pelaporan kanser dalam talian, yang membawa kepada peningkatan ketara dalam kes yang dilaporkan kepada MNCR.

Untuk akses kepada semua laporan dan e-buku yang baru diterbitkan, orang ramai boleh melayari laman sesawang Institut Kanser Negara di pautan http://nci.moh.gov.my atau laman sesawang KKM http://moh.gov.my.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan