BERITA TERGEMPAR   PRK Nenggiri: Jentera PH akan digerakkan bantu kempen calon BN- Fahmi | 
 AM > BERITA

86 PERATUS KAMPUNG ORANG ASLI SELURUH NEGARA DILENGKAPI KEMUDAHAN ASAS

19/07/2024 02:50 PM

PUTRAJAYA, 19 Julai (Bernama) -- Sebanyak 86 peratus daripada 853 kampung Orang Asli di negara ini telah dilengkapi kemudahan asas iaitu bekalan elektrik dan air bersih, kata Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah Datuk Rubiah Wang.

Rubiah berkata 737 kampung Orang Asli telah mendapat kemudahan elektrik dan 736 kampung menikmati kemudahan bekalan air bersih.

Beliau berkata terdapat 853 kampung Orang Asli di negara ini yang berada di Kelantan, Terengganu, Kedah, Perak, Pahang, Negeri Sembilan, Melaka dan Johor.

“(Kesemua) yang sudah dilaksanakan ini adalah di bawah RMK-12 (Rancangan Malaysia ke-12). Baki (kampung yang belum terima kemudahan asas) akan dibawa pada RMK-13,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Perundingan Orang Asli (MaPOA) Bilangan 1/2024 di sini hari ini.

Beliau berkata selain kemudahan elektrik dan bekalan air bersih, kerajaan juga telah membina 6,212 kilometer (km) jalan di 755 kampung Orang Asli.

Berkongsi projek kemudahan infrastruktur baharu, Rubiah berkata satu projek pembinaan jalan akan dilaksanakan dalam masa terdekat di Gua Musang, Kelantan, melibatkan jajaran sepanjang 93 km.

“Saya dimaklumkan hujung bulan ini akan ada acara serah tapak dan pecah tanah. Projek ini akan libatkan banyak kampung Orang Asli (di Gua Musang) dan akan beri manfaat kepada lebih 7,000 penduduk,” katanya.

Rubiah berkata pada mesyuarat hari ini, beliau turut dimaklumkan mengenai fokus Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) yang merangkumi aspek pemantapan ekonomi dan kemahiran Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) dalam kalangan masyarakat peribumi itu. 

“Kita akan tingkatkan penganjuran program keusahawanan. Apa yang penting sekarang kita fokus pada program kemahiran TVET yang mana kita sudah buka Pusat Latihan JAKOA Paya Bungor di Pahang,” katanya.

Mesyuarat hari ini merupakan mesyuarat MaPOA ke-19 selepas kali terakhir diadakan pada 2022.

MaPOA ditubuhkan pada 31 Julai 2021 sebagai platform bagi wakil-wakil Orang Asli dan pihak berkepentingan iaitu agensi pusat serta kerajaan negeri untuk memberikan pandangan dan maklum balas berkaitan dasar serta strategi pembangunan komuniti itu.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan