AM > BERITA

OPERASI PEMBENIHAN AWAN DI BUKIT MERAH 29-31 JULAI - EXCO

19/07/2024 06:42 PM

IPOH, 19 Julai (Bernama) -- Operasi Pembenihan Awan (OPA) susulan cuaca kering dan penyusutan Empangan Kolam Bukit Merah akan dilaksanakan bermula 29 Julai ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Perladangan, Pertanian dan Industri Makanan Perak Datuk Mohd Zolkafly Harun berkata OPA akan dilakukan selama tiga hari berturut-turut.

"OPA ini penting kerana selain air bagi kegunaan domestik, ia diperlukan untuk mengairi kawasan sawah di daerah Kerian yang terjejas berikutan paras air di Empangan Kolam Bukit Merah turun disebabkan cuaca panas," katanya kepada pemberita pada program Ziarah Kasih Tani di sini hari ini.

Sebelum ini, media melaporkan paras air Empangan Kolam Bukit Merah yang menjadi sumber utama air bagi kegunaan domestik dan pertanian terutama sawah padi di Kerian serta kegunaan perindustrian di Taiping semakin menyusut berpunca daripada cuaca panas.

Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Daerah Kerian sebelum ini terpaksa menghentikan bekalan pengairan untuk kegunaan sektor pertanian disebabkan air di empangan berkenaan menyusut kepada paras 6.096 meter.

Sementara itu ditanya mengenai kejadian serangan tikus yang merosakkan tanaman kebanyakan pesawah di daerah Kerian, Mohd Zolkafly berkata pesawah perlu melakukan langkah pengawalan sebelum penanaman padi bagi mengelak serangan haiwan perosak berkenaan.

"Mereka (pesawah) perlu melakukan langkah pengawalan iaitu meletakkan racun supaya tikus-tikus itu tidak berleluasa," katanya.

-- BERNAMA

 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan