AM > BERITA

RAJA BAHRAIN TIBA DI MALAYSIA UNTUK HADIRI ISTIADAT PERTABALAN YANG DI-PERTUAN AGONG KE-17

19/07/2024 07:09 PM

SEPANG, 19 Julai (Bernama) -- Raja Bahrain Sheikh Hamad Isa Al Khalifa tiba di sini, hari ini bagi menghadiri Istiadat Pertabalan Yang di-Pertuan Agong ke-17 Sultan Ibrahim, yang akan berlangsung di Istana Negara esok.

Pesawat khas yang membawa Sheikh Hamad dan delegasi baginda mendarat pada 6.35 petang di Kompleks Bunga Raya, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Baginda disambut oleh Pemangku Sultan Johor Tunku Mahkota Ismail, Tunku Temenggong Johor Tunku Idris Iskandar, Tunku Panglima Johor Tunku Abdul Rahman dan Tunku Putera Johor Tunku Abu Bakar.

Ketibaan Sheikh Hamad yang diiringi dua anakanda baginda iaitu Sheikh Abdullah Hamad Al Khalifa dan Sheikh Khalid Hamad Al Khalifa turut disambut oleh Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil.

Sejurus tiba, baginda berjalan melepasi kawalan kehormatan statik yang terdiri daripada dua pegawai dan 24 anggota daripada Batalion Pertama Rejimen Renjer Diraja (Infantri Istiadat) yang diketuai oleh Kapten Raja Azri Syahir Raja Mohd Zulkifli.

Sheikh Hamad adalah antara tetamu diraja luar negara yang diundang untuk menghadiri Istiadat Pertabalan Yang di-Pertuan Agong ke-17 Sultan Ibrahim.

Turut berkenan hadir ialah Sultan Brunei Sultan Hassanal Bolkiah, yang telah tiba di Pangkalan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), Subang pada 11.55 pagi tadi.

Sheikh Hamad juga dijadualkan menghadiri Majlis Santapan Diraja di Istana Negara malam esok, yang diadakan sempena Istiadat Pertabalan Yang di-Pertuan Agong ke-17.

Pada 2 Julai lepas media melaporkan bahawa Fahmi, yang juga Pengerusi Jawatankuasa Khas Acara-Acara Sempena Istiadat Pertabalan Agong ke-17, telah menyerahkan Warkah Persilaan ke Istiadat Pertabalan Yang di-Pertuan Agong ke-17 kepada Sheikh Hamad.

Warkah persilaan itu disampaikan melalui putera Sheikh Hamad, Sheikh Abdullah Hamad Al Khalifa, di Manama, Bahrain.

Pelbagai acara telah dan akan berlangsung sempena istiadat yang penuh simbolik ini, yang diadakan setiap lima tahun sekali.

Antaranya ialah Majlis Bacaan Yasin dan Doa Selamat di Masjid Negara yang telah diadakan semalam dan Lawatan Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah ke Hospital Orang Asli Gombak, serta Pameran Raja Kita di Muzium Negara. 

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan