AM > BERITA

NACSA PANTAU KESAN GANGGUAN IT GLOBAL

19/07/2024 07:43 PM

KUALA LUMPUR, 19 Julai (Bernama) -- Agensi Keselamatan Siber Negara (NACSA) memantau rapi dan bekerjasama rapat dengan pihak berkepentingan untuk mengurangkan kesan dan memulihkan semula operasi sektor terjejas secepat mungkin susulan gangguan sistem teknologi maklumat (IT) global.

NACSA ​​dalam kenyataan hari ini memaklumkan gangguan yang menjejaskan pengguna Microsoft di seluruh dunia termasuk Malaysia itu telah memberi kesan kepada pelbagai sektor kritikal seperti saluran televisyen, lapangan terbang dan bank.

“Di Malaysia, kita dapati terdapat gangguan operasi dalam bidang utama sebagai contoh, operasi di Terminal 2 Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) telah terjejas, menyebabkan daftar masuk secara manual dan masa menunggu yang panjang.

“Bank turut menghadapi gangguan sistem yang mengganggu transaksi dan perkhidmatan pelanggan. Kami ingin menjelaskan bahawa ini bukan serangan siber tetapi ini isu keselamatan siber yang penting,” menurut kenyataan itu.

NACSA ​​menyebut kesan gangguan IT itu terhadap Malaysia adalah besar kerana ia menyebabkan kelewatan dan cabaran operasi merentasi pelbagai sektor yang menjejaskan perniagaan dan orang awam.

Bagi menangani situasi itu, NACSA ​​mengesyorkan pihak terlibat untuk sentiasa berwaspada dan memantau secara berterusan pengumuman, penyelesaian dan kemas kini daripada vendor selain memantau  dan menguruskan sebarang penyelesaian sementara untuk mengurangkan potensi risiko baharu.

“NACSA ​​komited untuk memastikan keselamatan dan daya tahan infrastruktur siber negara. Kami akan terus memberikan sokongan dan bimbingan kepada organisasi terjejas pada masa yang mencabar ini.

"Kami sedang dalam proses mengumpul statistik lebih terperinci dan akan memberikan kemas kini selanjutnya apabila ia tersedia," menurut kenyataan itu.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan