AM > BERITA

RM3.2 JUTA DIPERUNTUK UNTUK PERKASA SRS TAHUN INI

19/07/2024 11:10 PM

PUTRAJAYA, 19 Julai (Bernama) -- Kementerian Perpaduan Negara (KPN) memperuntukkan RM3.2 juta tahun ini bagi memperkukuh keselamatan dan ketahanan komuniti di bawah Inisiatif Pemerkasaan Rukun Tetangga Sebagai Penggerak Komuniti Progresif.

Menteri Perpaduan Negara Datuk Aaron Ago Dagang berkata melalui peruntukan itu, RM837,500 disediakan bagi pembekalan dan penggantian fasiliti keselamatan Skim Ronda Sukarela (SRS) yang dijangka akan memberi manfaat kepada 119 Kawasan Rukun Tetangga (KRT). 

Beliau berkata lebih RM2.1 juta diperuntuk bagi pembekalan 69 buah kabin SRS baharu manakala RM231,692 bagi pembaikan kabin sedia ada di kawasan SRS. 

“Langkah ini bertujuan untuk meningkatkan keaktifan dan keberkesanan SRS dalam komuniti. Melalui pemerkasaan SRS ini, KPN turut mensasarkan agar kekerapan aktiviti kawalan dan rondaan SRS dapat dipertingkatkan lagi termasuk penglibatan golongan muda dalam SRS,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Program Keselamatan Kejiranan dan Jom Ronda SRS Bersepadu Peringkat Wilayah Persekutuan Putrajaya di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Aaron berkata KPN melalui Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN) telah merangka hala tuju baharu iaitu “Meremajakan SRS”.  

Beliau berkata ia bertujuan melonjakkan peranan SRS sebagai entiti yang penting di peringkat komuniti bagi memastikan kesejahteraan, keselamatan dan ketahanan komuniti.

“Antara inisiatif dilaksana adalah meningkatkan keberkesanan SRS melalui penggunaan aplikasi teknologi moden dalam menjalankan tugas kawalan dan rondaan.

“(Inisiatif lain) adalah memupuk budaya kesukarelawanan dalam kalangan komuniti melalui aktiviti keselamatan kejiranan dengan “Kempen 1 Keluarga 1 Anggota SRS,” katanya.

SRS telah dilancarkan pada 21 Feb 2004 bertujuan membantu pihak berkuasa membendung kegiatan jenayah dan gejala di komuniti setempat. 

Aaron berkata hingga Jun lepas, 5,409 SRS telah ditubuhkan di seluruh negara dengan keanggotaan hampir 100,000 orang.

-- BERNAMA

 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan