AM > BERITA

PERTUMBUHAN KDNK 5.8 PERATUS BAKAL JADI PEMANGKIN EKONOMI BANGKIT LEBIH KUKUH - PM ANWAR 

20/07/2024 10:19 AM

KUALA LUMPUR, 20 Julai (Bernama) -- Pertumbuhan ekonomi Malaysia yang diunjur berkembang 5.8 peratus pada Suku Kedua 2024 akan memberi kesempatan kepada negara untuk bangkit menjadi lebih gagah, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim. 

Beliau berkata dalam Ekonomi MADANI, kerajaan menjanjikan peluang pekerjaan, latihan dan pemindahan teknologi yang lebih baik menuju ke arah pendigitalan dan peralihan tenaga. 

“Malaysia telah pecah tembok kerunsingan dengan mencatat pertumbuhan menakjubkan 5.8 peratus  pada suku kedua tahun ini, luar daripada jangkaan biasa, luar daripada unjuran yang dikemukaan oleh semua pihak.”

“Saya yakin dengan kerjasama dan tumpuan kita kepada pembangunan ekonomi, kita akan berjaya,” kata Anwar menerusi hantaran video di laman X rasmi beliau, hari ini.

Semalam, Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) mengunjurkan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) Malaysia berkembang 5.8 peratus pada Suku Kedua 2024, meningkat daripada 4.2 peratus pada suku sebelumnya dan merupakan pertumbuhan tertinggi sejak Suku Kedua 2022 pada 7.4 peratus.

Perdana Menteri juga mengucap terima kasih kepada rakyat, pekerja,  golongan profesional dan pelabur  yang terus memberi kepercayaan kepada hala tuju Ekonomi MADANI.

“Dengan penuh tawaduk, saya mengucapkan jutaan terima kasih kepada rakyat, penghargaan tidak terhingga kepada warga pekerja sama ada di pihak kerajaan mahu pun swasta, terima kasih tidak terhingga kepada warga profesional dan terima kasih kepada para pelabur yang terus yakin dengan hala tuju ekonomi MADANI,” kata beliau.

Menurut laman web DOSM, pengumuman rasmi KDNK Suku Kedua 2024 akan diadakan pada 16 Ogos, 2024.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan