AM > BERITA

RAKYAT JOHOR BERBILANG BANGSA TERUJA SAKSI PERTABALAN SULTAN IBRAHIM

20/07/2024 01:37 PM

JOHOR BAHRU, 20 Julai (Bernama) -- Rakyat Johor berbilang bangsa dan agama di bandar raya ini teruja menyaksikan detik bersejarah Istiadat Pertabalan Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim yang disiarkan secara langsung dari Istana Negara, Kuala Lumpur menerusi wayang pacak di sini.

Seawal 8 pagi, kira-kira 50 individu dewasa dan kanak-kanak berkumpul di Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) Taman Cempaka di sini bagi menyaksikan tayangan wayang pacak istiadat itu yang dianjurkan Jabatan Penerangan Johor.

Turut hadir Ahli Parlimen Pulai Suhaizan Kaiat.

Pesara kerajaan, A Soaganathan, 69, menyifatkan momen itu sangat istimewa apabila Sultan Ibrahim kini bersemayam di takhta sebagai Ketua Negara yang menaungi Malaysia.

“Saya amat berbangga apabila Sultan Johor ditabalkan menjadi Agong. Sebagai rakyat Malaysia, saya yakin Seri Paduka Baginda mampu membawa Malaysia ke tahap lebih tinggi, makmur dan sejahtera,” katanya kepada pemberita hari ini. 

Thomas Yong Kim Sing, 58, berkata dia berbangga kerana sekali lagi dapat menyaksikan detik istimewa itu seperti yang disaksikan 40 tahun lepas ketika Almarhum Sultan Iskandar Sultan Ismail ditabal selaku Yang di-Pertuan Agong kelapan.

“Pada 1984, saya ketika itu masih remaja dan hari ini sejarah berulang apabila Sultan Ibrahim ditabalkan sebagai Yang di-Pertuan Agong, sama seperti ayahanda Seri Paduka Baginda. Saya yakin Sultan Ibrahim akan pimpin Malaysia dengan baik,” kata pekerja swasta itu.

Seorang murid Sekolah Kebangsaan Taman Cempaka, Muhammad Qayyum Abdullah, 11, pula berkata dia bangun seawal 6 pagi untuk mengajak rakan-rakannya menyaksikan tayangan istiadat itu.

“… ini kali pertama saya saksikan peristiwa seperti ini. Rasa bangga jadi rakyat Johor. Saya dan kawan-kawan dapat ilmu baharu tentang institusi raja di negara ini,” katanya. 

Dalam pada itu, Suhaizan berkata Sultan Ibrahim diyakini dapat memacu negara ke tahap lebih tinggi, seperti yang telah Seri Paduka Baginda lakukan di Johor sebelum ini.

“Sebagai rakyat negara ini, kita harap kemakmuran, ekonomi, pendidikan dan kesejahteraan hidup rakyat dapat ditingkatkan,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan