AM > BERITA

TPM FADILLAH AJAK ORANG RAMAI MERIAHKAN PELANCARAN BULAN KEBANGSAAN DI CYBERJAYA

21/07/2024 10:42 AM

PUTRAJAYA, 21 Julai (Bernama) -- Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof mengajak orang ramai menyemarakkan semangat kemerdekaan dengan menghadiri Majlis Pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang 2024 di Cyberjaya hari ini.

"Semangat patriotik perlu ada sebagai seorang warganegara dan diharapkan dengan semangat itu, ia akan kukuhkan lagi kekuatan perpaduan sesama kita.

"Saya harap ramai hadir meriahkan majlis itu yang akan dilancarkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim petang ini," katanya kepada pemberita selepas majlis pelepasan peserta larian Score Marathon 2024 bagi kategori lima kilometer (km) di sini.

Berkonsepkan karnival rakyat, program sehari di Cyberjaya itu padat dengan pengisian bermanfaat yang mampu mengukuhkan semangat patriotisme dalam kalangan rakyat menuju Sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia (HKHM) 2024.

Mengenai acara larian hari ini, Fadillah berkata ia merupakan program riadah bersama keluarga sambil mengamalkan budaya hidup sihat dan santai.

Seramai 24,253 pelari menyertai Score Marathon 2024 anjuran AIA Vitality yang bermula sejak 3 pagi tadi dengan pelepasan peserta bagi jarak 42 km, 21 km, 10 km dan lima km.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan