AM > BERITA

MAJLIS PELANCARAN BULAN KEBANGSAAN: PELUANG BACA BERITA TERSEDIA DI RERUAI BERNAMA

21/07/2024 02:36 PM

CYBERJAYA, 21 Julai (Bernama) -- Pengunjung ke Majlis Pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang 2024 di sini hari ini berpeluang mengetengahkan bakat dalam membaca berita, di reruai Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama).

Dibuka seawal 9 pagi, reruai tersebut telah menerima hampir 200 pengunjung setakat 1 tengah hari tadi dan ramai yang tidak ketinggalan mencuba untuk menyertai slot membaca berita yang disediakan.

Ketua Pegawai Eksekutif Bernama Nur-ul Afida Kamaludin ketika ditemui berkata reruai berkenaan menjadi platform untuk memperkenal dan menyebar luas semua perkhidmatan yang disediakan Bernama, dan satu daripadanya ialah Bernama TV.

"Salah satu aktiviti yang sering mendapat sambutan ialah percubaan untuk membaca berita, dan saya sendiri tidak ketinggalan mencuba tadi.

"Saya harap orang ramai di majlis pelancaran ini akan mengambil peluang mencuba bakat mereka, dan mana tahu boleh jadi pembaca berita nanti," katanya.

Selain itu reruai yang dikendalikan oleh Bahagian Hal Ehwal Korporat dan Bernama TV itu turut mengetengahkan aktiviti uji kefahaman mengenai kesemua perkhidmatan Bernama dan juga Kementerian Komunikasi.

Majlis Pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang 2024 yang berkonsepkan karnival rakyat itu bermula 9 pagi hingga 4.30 petang, dengan pelbagai program disediakan bagi mengukuhkan semangat patriotisme dalam kalangan rakyat menuju Sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia (HKHM) 2024.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dijadual merasmikan sambutan itu pada pukul 3 petang.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan