AM > BERITA

YANG DI-PERTUAN AGONG MENGIRINGI KEBERANGKATAN PULANG SULTAN BRUNEI

21/07/2024 04:24 PM

KUALA LUMPUR, 21 Julai (Bernama) -- Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim hari ini berkenan berangkat mengiringi keberangkatan pulang Sultan Brunei Sultan Hassanal Bolkiah di Pangkalan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Subang.

Menurut hantaran di laman rasmi Facebook Sultan Ibrahim, Seri Paduka Baginda berkenan memandu sendiri Sultan Hassanal Bolkiah ke Pangkalan Udara Subang.

“KDYMM Paduka Seri Baginda Sultan Brunei dan isteri Paduka Seri Baginda Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha merupakan antara tetamu jemputan Diraja dari luar negara bagi Istiadat Pertabalan Yang di-Pertuan Agong Ke-17, yang berlangsung semalam (20 Julai),” menurut hantaran tersebut.

Turut hadir Menteri Komunikasi yang juga Pengerusi Jawatankuasa Khas Acara-Acara Sempena Istiadat Pertabalan Agong Fahmi Fadzil.

Terdahulu, Sultan Hassanal Bolkiah bersama Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha berkenan berangkat ke Istiadat Pertabalan Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim di Istana Negara, semalam.

Selain itu, Sultan Hassanal Bolkiah turut berkenan menerima menghadap Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim di ibu negara antara lain membincangkan tentang kemajuan kerjasama Malaysia dan Brunei.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan