AM > BERITA

KUIH PENYARAM GULA APONG LARIS DI RERUAI BUMI KENYALANG

21/07/2024 06:13 PM

CYBERJAYA, 21 Julai (Bernama) -- Kuih penyaram gula apong atau gula nipah, yang terkenal di Sarawak menjadi antara tarikan utama pada Majlis Pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang 2024 di sini hari ini. 

Pengusaha Kuching Eatery Aiza Zawawai, 36, berkata sambutan terhadap kuih dengan rasa lemak manis itu menyebabkan dia bersama suami dan seorang sepupu tidak menang tangan untuk menggoreng kuih penyaram sejak pagi, kerana semuanya habis dijual tidak lama selepas diangkat dari kuali. 

"Kami tidak menggoreng kuih dalam kuantiti terlalu banyak sejak pagi kerana kami mahu pembeli menikmati kuih penyaram semasa masih panas, yang dibancuh dengan gula apong yang kami bawa khusus dari Sarawak. 

"Gula apong rasanya tidak terlalu manis berbanding gula biasa, jadi lebih ramai dapat menerima rasa kuih penyaram kami," katanya kepada Bernama semasa ditemui di Reruai Bumi Kenyalang pada majlis itu. 

Anak jati Kuching itu berkata gula apong yang digunakan mereka dihasilkan oleh pengeluar gula nira, bermula dari proses mengumpul air nira sebelum dimasak sehingga menjadi gula.

Selain digunakan untuk menghasilkan kuih penyaram, gula apong juga menjadi bahan utama penghasilan pencuci mulut seperti ais krim, yang juga popular dalam kalangan orang tempatan serta pelancong ke Sarawak. 

Aiza berkata penglibatannya dalam perniagaan makanan bermula selepas berpindah ke Cyberjaya pada enam tahun lepas, kerana sering menerima pertanyaan tentang juadah tradisional Sarawak daripada rakan.

"Juadah yang sering ditanya antaranya mi kolok, laksa Sarawak dan kek lapis selain sudah tentu kuih penyaram. Saya fikir mengapa saya tidak mengambil peluang untuk bukan hanya menjadikannya sebagai punca rezeki, tetapi dalam masa sama memperkenalkan makanan dengan rasa asli negeri kelahiran saya," katanya. 

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan