AM > BERITA

KONVOI KEMBARA MERDEKA JELAJAH 10 NEGERI SEMARAKKAN SEMANGAT PATRIOTISME

21/07/2024 10:32 PM

CYBERJAYA, 21 Julai (Bernama) -- Tanpa mengira usia, bangsa dan latar belakang, konvoi Kembara Merdeka Jalur Gemilang (KMJG) 2024 akan menelusuri 10 negeri bagi menzahirkan semangat patriotisme menjelang sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia (HKHM) 2024.

Pelepasan konvoi itu yang turut disertai 50 motosikal berkuasa tinggi Suzuki VStrom Owners Club Malaysia (SVOCM) disempurnakan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim sempena Majlis Pelancaran Bulan Kebangsaan dan Jalur Gemilang 2024 di sini hari ini.

Presiden SVOCM Mohamad Zaidi Yahya, 64, berkata semangat yang ditonjolkan ahli kelab yang terdiri daripada pelbagai bangsa dan agama apatah lagi ada peserta yang sudah mencecah usia 60-an, merupakan pengorbanan mereka dalam menzahirkan semangat cinta kepada negara.  

“Peserta terdiri daripada pelbagai latar belakang termasuk penjawat awam, golongan korporat dan mereka yang berniaga sendiri… kami bercampur dan yang penting persahabatan kita tidak kira bangsa, kami ada India, Melayu dan Cina.

“Konvoi ini sebahagian daripada usaha untuk menguar-uarkan sambutan Hari Kebangsaan dan terdapat juga program yang telah diatur JaPen (Jabatan Penerangan) untuk kami sertai di setiap negeri yang kami sampai… Selain itu, kami juga akan sampaikan bantuan kepada golongan yang memerlukan dan ini merupakan inisiatif kelab kami sendiri,” katanya.

Mohamad Zaidi berkata KMJG akan menjelajah ke Selangor, Johor, Melaka, Terengganu, Perak, Kelantan, Kedah, Pulau Pinang, Perlis dan akan berakhir di Kuala Lumpur. 

“Kembara kita akan berakhir pada 21 Ogos nanti sebelum bertemu semula untuk perarakan Hari Kebangsaan yang akan disertai kira-kira 50 ahli kelab. Ini adalah pertama kali pihak kami berkoloborasi dengan JaPen,” katanya ketika ditemui Bernama. 

Setiausaha SVOCM Senthil Kumaran, 47, menzahirkan ucapan terima kasih kepada JaPen kerana sudi menjalin kerjasama dengan kelab permotoran untuk bersama-sama memeriahkan lagi kehangatan Bulan Kebangsaan.

“Terima kasih juga kepada kerajaan MADANI termasuk Kementerian Komunikasi… saya ucapkan Malaysia MADANI, jiwa Merdeka,” katanya.

Konvoi KMJG melibatkan 90 peserta dan 65 kenderaan termasuk daripada JaPen, Polis Diraja Malaysia, agensi, komuniti dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Selangor. 

-- BERNAMA 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan