AM > BERITA

SITUASI DI BANGLADESH TIDAK JEJAS PASARAN TENAGA KERJA ASING NEGARA

22/07/2024 01:20 PM

SHAH ALAM, 22 Julai (Bernama) -- Situasi semasa di Bangladesh tidak mengganggu dan memberikan kesan kepada pasaran tenaga kerja asing di Malaysia setakat ini.

 Timbalan Menteri Sumber Manusia Datuk Seri Abdul Rahman Ahmad berkata bilangan pekerja asing yang diperlukan dalam negara juga masih mencukupi selain kerajaan tidak membuka kemasukan tenaga kerja dari negara itu buat masa ini.

"Buat sementara waktu ini, memang kita tak mengambil pekerja asing...kita tutup (pengambilan) kerana yang ada ketika ini masih mencukupi.

"…. yang kita perlukan pun cuma dalam beberapa bidang seperti tukang masak, penjahit, itu sahaja, yang lain setakat ini tak jadi masalah kepada kita," katanya ketika ditemui selepas Majlis Perasmian dan Pelepasan Kembara Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) MADANI 2024 di sini hari ini.

Sebelum ini media melaporkan, ribuan pelajar di Bangladesh mengadakan demonstrasi sejak 1 Julai lepas susulan mahkamah mengembalikan kuota untuk pekerjaan awam yang telah dimansuhkan pada 2018.

Agensi Berita Jerman (dpa) melaporkan kerajaan telah mengenakan perintah berkurung di seluruh Bangladesh selepas pertempuran antara penunjuk perasaan dan polis semasa protes pelajar.

Sementara itu, mengenai program Kembara TVET MADANI,  Abdul Rahman berkata kembara yang bermula di Pusat Latihan Pengajar Dan Kemahiran Lanjutan (CIAST) di sini dan disertai seramai 170 peserta itu akan bergerak ke beberapa institusi pendidikan di Pahang dan Terengganu bagi mempromosikan TVET kepada golongan remaja dan belia di negeri itu.

Beliau yakin inisiatif itu dapat meningkatkan kepercayaan masyarakat terhadap bidang TVET selaras dengan hasrat kerajaan menjadikan TVET sebagai pilihan dalam kalangan lepasan sekolah menengah.

"Kita harap melalui konvoi ini dapat menarik minat orang ramai untuk menyertai bidang TVET yang boleh menjadi satu kelebihan untuk meraih pendapatan lebih tinggi apabila memasuki pasaran kerja," katanya.

-- BERNAMA 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan