AM > BERITA

TIGA DITAHAN BANTU SIASATAN KES KANAK-KANAK PEREMPUAN HILANG

23/07/2024 07:52 AM

JOHOR BAHRU, 23 Julai (Bernama) -- Polis menahan tiga individu bagi membantu siasatan kes kehilangan seorang kanak-kanak perempuan berusia enam tahun di sebuah pusat beli-belah di Iskandar Puteri pada Sabtu.

Ketua Polis Johor CP M Kumar berkata dua lelaki dan seorang wanita tempatan berusia 28 hingga 55 tahun itu ditahan kira-kira 1.30 tengah hari di sekitar Iskandar Puteri semalam.

Beliau berkata bagaimanapun kanak-kanak berkenaan, Albertine Leo Jia Hui masih belum dijumpai setakat ini. 

“Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 365 Kanun Keseksaan iaitu menculik dan melarikan seseorang dengan niat hendak mengurungnya secara sulit dan salah,” katanya dalam kenyataan.

Beliau menasihati orang ramai agar tidak membuat spekulasi yang boleh mengganggu siasatan dan sebarang maklumat boleh disalurkan ke hotline Polis Johor menerusi talian 019-2792 095 atau Bilik Gerakan 07-2212 999.

Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri ACP M Kumarasan sebelum ini dilapor meminta bantuan orang ramai untuk mengesan kanak-kanak itu yang disedari hilang oleh bapanya di pusat beli-belah berkenaan kira-kira 8.30 malam.

Beliau dipetik berkata kanak-kanak berketinggian lebih kurang 120 sentimeter, rambut panjang berwarna hitam, kulit cerah dan tubuh sederhana kurus itu memakai kemeja T berwarna putih dengan gambar 'Mickey Mouse' pada bahagian dada dan berseluar pendek.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan