AM > BERITA

PUSAT SATELIT EKSPATRIAT DIPERLUAS KE KLIA TERMINAL 2

23/07/2024 07:17 PM

SEPANG, 23 Julai (Bernama) -- Susulan kejayaan Pusat Satelit Ekspatriat (ESC) di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1, kini ia diperluas ke KLIA Terminal 2 bertujuan meningkatkan daya tarikan Malaysia kepada pelabur dan menarik bakat berkemahiran tinggi.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata ESC di KLIA Terminal 2 telah mula beroperasi sepenuhnya 24 jam sehari, sejak 4 Jun lepas dengan empat pegawai ditempatkan bagi penugasan secara bergilir-gilir.

“Malaysia telah merekodkan peningkatan bilangan ekspatriat dan ini menunjukkan Malaysia menjadi destinasi pilihan bagi syarikat multinasional dan pelabur, dan ia juga memberi kesan positif kepada ekonomi negara selain menjana peluang pekerjaan.

“Sehingga 21 Julai lepas, ESC KLIA Terminal 2 telah mengeluarkan sebanyak 72 pas dan saya yakin pembukaan ESC ini membuktikan kesungguhan dan komitmen Jabatan Imigresen (JIM) dengan kerjasama Talent Corporation Malaysia Bhd (TalentCorp) dalam memudah cara urusan imigresen yang seterusnya menyumbang kepada pembangunan negara,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas melancarkan ESC di sini hari ini, yang turut dihadiri oleh Ketua Pengarah Imigresen Datuk Ruslin Jusoh.

ESC di KLIA Terminal 1 dan KLIA Terminal 2 berfungsi untuk memudahkan pengeluaran pas dalam kadar segera selepas ketibaan ekspatriat termasuk Pas Pekerjaan (EP), Pas Lawatan Ikhtisas (PVP), Pas Tanggungan (DP) serta Pas Residen-Talent (RP-T) dan Pas Lawatan Sosial Jangka Panjang (PLS).

Dengan proses perkhidmatan imigresen yang dipertingkatkan melalui ESC, pengeluaran pas oleh pihak JIM untuk ekspatriat yang diluluskan akan dikeluarkan pada hari yang sama semasa ketibaan mereka di KLIA Terminal 2, dan membolehkan ekspatriat untuk tinggal dan bekerja di Malaysia (pada hari yang sama).

Menurut Saifuddin Nasution, bilangan ekspatriat tertinggi adalah dari India, negara Eropah dan China manakala sektor pekerjaan mereka adalah dalam bidang pendidikan, pembuatan, kejuruteraan serta minyak dan gas.

Untuk rekod, sejak November 2021 sehingga 21 Julai lepas, sebanyak 22,462 pas imigresen telah dikeluarkan (termasuk ESC KLIA Terminal 2) dengan purata 714 pas disahkan dalam tempoh sebulan.

Bagi 2023 sahaja, sebanyak 10,703 pas telah dikeluarkan di ESC KLIA Terminal 1 berbanding 5,000 pas pada 2022.

-- BERNAMA

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan