AM > BERITA

KETEGANGAN DI BANGLADESH: RAKYAT MALAYSIA BERSYUKUR DAPAT PULANG DENGAN SELAMAT

23/07/2024 10:28 PM

Oleh Samantha Tan Chiew Tieng

SEPANG, 23 Julai (Bernama) -- Pelajar Malaysia di Bangladesh menzahirkan rasa syukur kerana dapat kembali ke tanah air dengan selamat memandangkan ketegangan yang semakin memuncak di negara itu tidak dijangka berakhir dalam masa terdekat.

Penuntut tahun pertama Universiti Pertanian Bangladesh, Fairuz Awatif Ismail, 31, berkata beliau takut dengan situasi yang melanda negara itu ketika ini.

"Dalam keadaan tidak menentu, semua pelajar berpakat berkumpul di satu tempat untuk keluar beli barang keperluan. Biasanya kita akan keluar awal pagi," katanya kepada Bernama sejurus tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 2 di sini hari ini.

Fairuz Awatif juga berkata pada awal bulan ini, mereka berdepan mogok pensyarah dan kini terpaksa pula menempuh situasi tegang susulan protes oleh pelajar.

Ribuan pelajar di Bangladesh mengadakan protes itu susulan keputusan mahkamah mengembalikan kuota untuk pekerjaan awam yang telah dimansuhkan pada 2018.

Keputusan itu menyaksikan pertembungan pelajar dengan pasukan keselamatan sehingga menyebabkan kerajaan Bangladesh mengenakan perintah berkurung di seluruh negara sebagai tindak balas terhadap peningkatan keganasan dan demonstrasi yang mengorbankan lebih 130 nyawa.

Fairuz Awatif berkata keadaan menjadi lebih menakutkan apabila Internet disekat manakala bekalan elektrik dipotong yang memasuki hari kelima hari ini.

"Setiap hari yang berlalu menjadi lebih sukar untuk berhubung dengan keluarga dan sahabat. Alhamdulillah dapat balik ke Malaysia kerana di sana terpaksa berkurung dan keselamatan kita tidak dapat dijamin," katanya.

Beliau berkata keselamatan di asrama juga tidak terjamin kerana terdapat individu yang berjaya masuk untuk memukul pelajar dan oleh itu, mereka diarah mengosongkan premis tersebut.

"Saya tidak serik untuk kembali ke Bangladesh bagi menyambung pengajian tetapi kena tunggu keadaan betul-betul stabil," katanya.

Ketua cawangan Universiti UCSI Bangladesh Chan Joe Jim pula berkata situasi di negara itu seakan-akan dilanda pandemik COVID-19 namun apa yang berbeza ialah sekatan komunikasi.

"Amat sukar untuk berkomunikasi dan situasi ini agak pelik pada zaman moden. Saya harap negara yang menjadi tuan rumah kepada ekspatriat dapat meningkatkan keamanan dan kepelbagaian ke arah kemakmuran," katanya.

Chan, yang dihantar ke Bangladesh pada Ogos tahun lepas, berkata beliau dan isteri serta dua anaknya bernasib baik kerana kediaman mereka terletak di kawasan diplomatik.

"Kami terpaksa meninggalkan kucing kami di sana dengan berat hati namun kami berjaya mencari seseorang untuk menjaganya. Kami berharap untuk kembali ke sana sementara menunggu lampu hijau dari Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Dhaka," katanya.

Bagi Mohd Haziq Syahmi, 32, situasi itu bukan sahaja menguji ketahanan fizikal tetapi juga mental kerana terpaksa mengharungi tempoh selama lima hari berturut-turut tanpa komunikasi dan Internet malah lebih buruk, perintah berkurung yang merisaukan masyarakat untuk keluar.

Pelajar tahun terakhir Kolej Perubatan Mymensingh itu berkata sebagai wakil pelajar Malaysia di Bangladesh, beliau sentiasa berhubung dengan Suruhanjaya Tinggi Malaysia untuk mengetahui perkembangan bagi proses evakuasi.

Seramai 123 rakyat Malaysia termasuk 80 pelajar selamat dibawa pulang menerusi penerbangan khas AirAsia AK76 yang mendarat di KLIA Terminal 2 pada 4.56 petang tadi.

Semalam, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata kerajaan memutuskan untuk membawa pulang pelajar Malaysia di Bangladesh susulan ketegangan yang semakin memuncak di negara itu.  

Misi itu melibatkan 15 pegawai daripada Kementerian Luar, Jabatan Perdana Menteri dan Majlis Keselamatan Negara.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan