AM > BERITA

ASEAN HERITAGE TRAIN PERKUKUH HUBUNGAN NEGARA ASEAN

23/07/2024 10:40 PM

KUALA LUMPUR, 23 Julai (Bernama) -- Penganjuran program ASEAN Heritage Train: Enhancing Connectivity Towards Cultural Diversity (AHT) dilihat dapat memperkukuh hubungan dalam kalangan negara ASEAN.

Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Khairul Firdaus Akbar Khan berkata kejayaan program itu akan menjadi penanda aras yang baik untuk ia diperluaskan supaya semangat ASEAN dapat diterapkan dalam masyarakat.

“Kita perlu melihat bahawa ASEAN itu diperkuatkan dari sudut kebudayaan, sebab itu kita lakukan program ini supaya sewaktu dalam perjalanan menaiki kereta api, banyak intipati yang telah kita sediakan untuk para delegasi,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Pameran Hiasan Kepala Tradisional ASEAN di sini hari ini. 

AHT anjuran Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) yang berlangsung pada 9 hingga 26 Julai ini menggunakan kereta api sebagai pengangkutan utama yang merentasi Malaysia, Laos dan Thailand.

Program di bawah ASEAN Cultural Fund (ACF) itu menghimpunkan penggiat seni budaya bidang seni persembahan, gastronomi dan kraf dari negara ASEAN iaitu Brunei, Filipina, Indonesia, Kemboja, Laos, Malaysia, Myanmar, Thailand dan Vietnam.

Program itu bermula pada 9 hingga 14 Julai di Luang Prabang, Vang Vieng dan Vientiane, Laos, seterusnya 15 hingga 20 Julai di Nong Khai, Bangkok, Petchaburi dan Songkhla, Thailand dan di Malaysia pada 21 hingga 26 Julai, di Kedah, Pulau Pinang dan Kuala Lumpur.

Khairul Firdaus berkata pihaknya juga telah berbincang dengan Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) untuk mewujudkan program pelancongan dan kebudayaan sempena Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN 2025.

Sementara itu, Pameran Hiasan Kepala Tradisional ASEAN yang berlangsung bermula 22 Julai hingga esok sempena program AHT, mengetengahkan 23 hiasan kepala mewakili negara-negara ASEAN termasuk Malaysia.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan