AM > BERITA

KONVOI KMJG2024 PLATFORM PUPUK SEMANGAT PATRIOTISME

24/07/2024 12:26 AM

ALOR GAJAH, 23 Julai (Bernama) -- Konvoi Kembara Merdeka Jalur Gemilang (KMJG) 2024 mampu menjadi platform menaikkan semangat patriotisme penduduk setempat khususnya pelajar sekolah, dalam menghayati erti perjuangan kemerdekaan negara ini.

Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital Melaka Datuk Fairul Nizam Roslan berkata pengisian program itu, bukanlah sekadar menyelusuri jalanan tetapi membawa mesej dan menyedarkan orang ramai terutama pelajar, bahawa Malaysia telah berada dalam satu bulan yang amat penting untuk diraikan secara bersama.

“Sempena Hari Kebangsaan ini, ambillah kesempatan dengan menghiasi rumah, sekolah, dan pelbagai tempat dengan kibaran Jalur Gemilang yang cukup sifat, tidak koyak, uzur atau lusuh,” katanya kepada pemberita pada acara penerimaan Jalur Gemilang dari KMJG Negeri Sembilan dan Majlis Perasmian KMJG 2024 peringkat negeri Melaka di Freeport A'Famosa Outlet di sini hari ini, yang turut dihadiri Pengarah Penerangan negeri Ab Rasil Hajatil.

Mengulas mengenai KMJG2024 di Melaka, beliau berkata terdapat lima lokasi akan disinggah konvoi disertai lebih 100 kenderaan pelbagai jenis, termasuk 50 motosikal berkuasa tinggi Suzuki VStrom Owner Club Malaysia, melibatkan perjalanan sejauh 122.5 kilometer.

“Kita akan melalui lima hentian yang bermula di Freeport A' Famosa dan bergerak ke Sekolah Menengah Seri Tanjung, IPD Jasin, Pusat Rekreasi Chohong dan berakhir di Dataran Tangkak.

“Antara pengisian sepanjang perjalanan ini ialah meraikan pesara tentera dan polis, serta melibatkan pelajar sekolah rendah dan menengah untuk bersama menyuntik semangat patriotisme dan pentingnya mengibar Jalur Gemilang,” katanya.

Konvoi KMJG2024 yang bermula semalam akan menjelajah ke Selangor, Johor, Melaka, Terengganu, Perak, Kelantan, Kedah, Pulau Pinang, Perlis dan akan berakhir di Kuala Lumpur, pada 21 Ogos.

Sementara itu, Fairul Nizam berkata kerajaan negeri menyasarkan lebih 4,000 pengunjung akan hadir memeriahkan sambutan Majlis Pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kempen Kibar Jalur Gemilang peringkat negeri Melaka, yang akan diadakan di Dataran Keris Alor Gajah pada 12 Ogos.

“Untuk sambutan separuh hari itu, kita sedang merancang pelbagai aktiviti yang melibatkan semua kepimpinan negeri dan masyarakat serta penduduk dari semua peringkat umur,” katanya. 

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan