AM > BERITA

PERSIDANGAN SPEAKER-SPEAKER SE-MALAYSIA MEDAN PERTUKARAN ILMU, PENGALAMAN - JOHARI`

24/07/2024 12:15 PM

MELAKA, 24 Julai (Bernama) -- Persidangan Speaker-speaker Parlimen dan Dewan Undangan Negeri Se-Malaysia 2024 pada 11 hingga 14 Sept depan di Kuching, Sarawak bakal menjadi medan pertukaran ilmu dan pengalaman dalam kalangan Yang Dipertua Dewan.

Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Johari Abdul berkata dengan slogan 'Memperkukuhkan Institusi Speaker', persidangan selama tiga hari itu juga diharap dapat 'menyeragamkan' pemikiran antara Yang Dipertua-Yang Dipertua di Dewan Undangan Negeri (DUN) dan Parlimen.

"Harus diingat Yang Dipertua Dewan juga adalah institusi kepimpinan sebab dia memimpin dewan dia... bukan sahaja memimpin di waktu dewan (bersidang) tetapi juga di luar waktu persidangan, kita (Yang Dipertua) juga memimpin.

"Jadi mungkin idea-idea yang dilontarkan itu boleh disambut oleh eksekutif, disambut oleh kerajaan untuk dilaksanakan sebab Yang Dipertua Dewan yang akan mendengar semua hujah-hujah daripada Ahli Yang Berhormat," katanya.

Johari berkata demikian kepada pemberita selepas menjadi tetamu di Konti Melakafm sempena lawatan kerja Yang Dipertua Dewan Rakyat ke DUN Melaka yang bermula semalam.

Mengulas mengenai lawatan kerjanya ke negeri-negeri ketika ini, beliau berkata ia dijangka akan menjadi rutin tahunannya selepas ini bagi mengeratkan hubungan antara rakan sejawatannya.

"Lawatan kerja secara rasmi (ke negeri-negeri).. ini kali pertamalah yang saya rasa saya cuba terapkan dan.. supaya kalau boleh tahunan, supaya setiap kali kita nak adakan persidangan, harus Yang Dipertua (Dewan Rakyat) turun dan bincang dengan kawan-kawan," katanya.

Ditanya mengenai Parlimen Belia, Johari berkata beliau akan meneliti beberapa perkara termasuk pindaan undang-undang berkaitan bagi menambah jumlah Ahli Parlimen Belia kepada 222 orang berbanding 100 orang ketika ini.

Beliau berkata beliau berhasrat untuk melihat seorang Ahli Parlimen Belia dilahirkan di setiap Parlimen di seluruh negara agar mereka mampu menjadi golongan pelapis pada masa hadapan.

Johari berkata seorang Ahli Parlimen Belia akan dilantik memegang jawatan itu untuk tempoh dua tahun dan beliau menyasarkan kira-kira 500 Ahli Parlimen Belia dapat dilahirkan dalam tempoh satu penggal Parlimen.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan