AM > BERITA

LEBIH 400 PENGUSAHA DURIAN ALAMI KERUGIAN AKIBAT HAIWAN PEROSAK

24/07/2024 12:32 PM

Oleh Habsah Ismail

GUA MUSANG, 24 Julai (Bernama) -- Lebih 400 pengusaha durian sekitar kebun Rancangan Pemulihan Tanah (RPT) Kesedar Sungai Terah di sini mengalami kerugian puluhan ribu ringgit akibat ancaman haiwan perosak seperti tupai dan monyet.

Salah seorang pengusaha Mohd Johan Awang Chik, 55, berkata beliau mengalami kerugian itu sejak tahun lepas apabila hampir 90 peratus daripada keseluruhan hasil durian yang ditanam musnah akibat haiwan perosak berkenaan.

"Haiwan perosak seperti tupai dan monyet datang secara berkumpulan dengan menyerang tanaman seluas kira-kira 800 hektar di kawasan ini terutama ketika buah durian hampir masak termasuk durian jenis Musang King.

"Selain itu ada juga pekebun terserempak dengan babi hutan dan beruang yang datang memakan hasil tanaman mereka," katanya ketika ditemui pemberita di kebun RPT Kesedar Sungai Terah, di sini, semalam.

Beliau berkata kehadiran haiwan itu secara tidak terkawal akan menyebabkan buah durian berlubang dan buruk sehingga mengakibatkan pekebun tidak dapat menjual buah durian tersebut.

"Saya terpaksa mengupah penduduk Orang Asli yang tinggal sekitar kebun untuk sumpit haiwan-haiwan perosak tersebut sebab kalau tidak dijaga pada musim durian, kami semua langsung tidak dapat makan hasil daripada buah ini.

"Saya harap agensi kerajaan seperti Jabatan Pertanian dan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) dapat membantu pekebun menangani masalah yang berlaku," katanya.

Mohd Rosdi Ayub, 54, pula berkata kejadian ini mungkin berlaku disebabkan habitat asal haiwan itu diteroka sehingga menyebabkan ia mencari tempat lain seperti kebun getah dan buah-buahan.

"Ancaman ini bermula sejak tahun lepas dan semakin menjadi-jadi pada Mei ketika pokok mula mengeluarkan hasil terutama musim durian," katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan