AM > BERITA

PROGRAM WANITA BANGKIT@KPWKM BANTU 18,664 WANITA JANA PENDAPATAN SETAKAT 2023

24/07/2024 01:08 PM

KUALA LUMPUR, 24 Julai (Bernama) -- Program Wanita Bangkit@KPWKM di bawah Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) telah memberi manfaat kepada 18,664 wanita di seluruh negara, setakat tahun lepas.

Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Dr Noraini Ahmad berkata KPWKM menambah baik program dari semasa ke semasa bagi membantu lebih banyak wanita menjana pendapatan.

"Bagi 2023, 70 peratus peserta masih lagi meneruskan perniagaan untuk menjana ekonomi keluarga, 30 peratus tidak dapat meneruskan perniagaan atas faktor mendapat pekerjaan lain, ada tidak sihat, menjaga keluarga sakit atau menumpukan masa untuk keluarga," katanya pada sesi soal jawab di Dewan Negara hari ini.

Menjawab soalan tambahan Senator Datuk Seri Zurainah Musa mengenai kepentingan kesihatan mental dalam kalangan wanita bekerja pula, Noraini berkata ia memang penting untuk seorang wanita mempunyai keseimbangan dalam melakukan pekerjaan dan menjaga keluarga.

"Antara perkara yang kami tekankan adalah mengenai kesihatan mental sebab kita merasakan bahawa ia adalah satu cabaran yang dihadapi sekarang ini dan setiap kali kita anjurkan apa-apa program keusahawanan, maklumat mengenai kesihatan mental juga diberikan penekanan.

"Kita ada satu program yang dinamakan Program Pusat Sokongan Sosial Setempat (PSSS), iaitu kita ada pelaksanaan kaunseling kepada masyarakat. Kita juga ada mempunyai modul-modul tertentu untuk menangani masalah kesihatan mental," katanya.

Sementara itu, Noraini berkata antara inisiatif kementeriannya dalam memastikan persekitaran pekerjaan golongan wanita kondusif dan selamat ialah melalui pengukuhan undang-undang seperti Akta Antigangguan Seksual 2021 (Akta 840) dan pindaan Akta Kerja.

"Kita memang menggalakkan syarikat awam dan juga swasta untuk mengadakan pusat jagaan kanak-kanak, asuhan kanak-kanak yang berkualti dan sebagainya.

"KPWKM juga sedang merangka kerangka strategik industri penjagaan untuk membantu meningkatkan penyertaan 60 peratus wanita dalam bidang pekerjaan… dengan harapan inisiatif-inisiatif dilakukan KPWKM dapat meningkatkan kadar kesuburan jumlah (TFR) dalam kalangan wanita bekerja," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan daripada Senator Datuk Dr Azhar Ahmad yang ingin tahu bagaimana KPWKM memastikan kadar kelahiran dalam kalangan wanita sedang berkhidmat dan berbakti kepada negara tidak terkesan.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan