AM > BERITA

KESUMA ANJUR JERAYAWARA BANTERAS KEGIATAN BURUH PAKSA, PEMERDAGANGAN ORANG

24/07/2024 04:26 PM

PUTRAJAYA, 24 Julai (Bernama) -- Program jerayawara ‘Katakan Tidak Kepada Buruh Paksa’ yang diadakan selama dua hari ini bermula hari ini bertujuan membanteras kegiatan buruh paksa dan pemerdagangan orang. 

Program itu anjuran Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia (JTKSM) ke Johor dan Negeri Sembilan secara kolaborasi melibatkan pihak seperti Jabatan Penerangan, Polis Diraja Malaysia dan Jabatan Imigresen serta dilancarkan Menteri Sumber Manusia Steven Sim Chee Keong di sini hari ini. 

Dalam kenyataan sempena pelancaran program itu, Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) memaklumkan jerayawara berkenaan turut bertujuan memberikan kesedaran kepada masyarakat setempat berhubung isu buruh paksa. 

“Melalui aktiviti jerayawara atau road tour kita akan mendidik mereka tentang usaha yang kita ambil dalam menangani isu ini.

“Selain itu, kita juga memperkasakan amalan terbaik dalam pengurusan pekerja dalam kalangan sektor perburuhan dan swasta,” menurut kenyataan itu.

KESUMA memaklumkan pihaknya menerapkan konsep ‘inclusivity’ dalam usaha meningkatkan kesedaran umum berkaitan isu buruh paksa dan pemerdagangan orang. 

“Program seumpama ini akan diteruskan bagi memastikan bukan sahaja penguatkuasaan undang-undang perburuhan negara dapat disebarluaskan tetapi juga khidmat nasihat dapat diberikan secara terus kepada orang awam,” menurut kenyataan itu.

Sementara itu, JTKSM turut melaksanakan operasi penguatkuasaan sebanyak 352 bagi tempoh Januari hingga Jun tahun ini dan 721 kertas siasatan dibuka membawa kepada 140 pendakwaan dengan nilai denda berjumlah RM39,600. 

“Sebanyak 359 Kertas Siasatan dikenakan kompaun yang membawa kepada penawaran kompaun bernilai RM1,768,00.00,” menurut kenyataan itu.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan