AM > BERITA

EKSPO EMAX & PMAX BENTUK MASA DEPAN INDUSTRI ELEKTRONIK DAN PEMBUATAN DI PULAU PINANG

24/07/2024 04:17 PM

GEORGE TOWN, 24 Julai (Bernama) -- Pelbagai profesional industri berhimpun bersama-sama menyertai Ekspo Pembuatan Elektronik Asia (EMAX) ke-4 dan Ekspo Pembuatan Pulau Pinang ke-3 (PMAX) 2024 di sini untuk meneroka penyelesaian inovatif memacu masa depan elektronik dan pembuatan.

Penasihat ekspo EMAX & PMAX, J. Philip Vincent berkata lebih 200 jenama terkemuka dari 40 negara dipamerkan di ekspo tahun ini yang dijangka menarik lebih 8,000 pengunjung semasa tempoh tiga hari penganjurannya, bermula hari ini.

"Kami juga berharap ekspo ini akan menghasilkan lebih banyak kerjasama dengan syarikat global. Sebagai contoh, sebuah firma Korea Selatan baru-baru ini membuka kilang di Pulau Pinang dan sedang merancang perkongsian dengan universiti tempatan untuk latihan amali.

"Kami menyasar untuk mendapatkan lebih banyak kerjasama seperti ini. Ini adalah petunjuk yang sangat baik dan sangat positif dari segi memenuhi keperluan industri untuk tenaga kerja mahir," katanya pada sidang media selepas majlis perasmian ekspo itu, di sini, hari ini.

EMAX dan PMAX edisi 2024 menawarkan pelbagai pempamer, seminar dan peluang perangkaian, menyediakan maklumat berharga kepada pengunjung mengenai teknologi, trend dan amalan terbaik yang membentuk industri.

Sementara itu, ahli lembaga pengarah Persatuan Industri Semikonduktor Malaysia, Noorazidi Che Azib, berkata ekspo itu mengetengahkan status Pulau Pinang sebagai hab semikonduktor. 

"Kita sudahpun menuju ke arah pendigitalan, seperti yang dibuktikan menerusi pameran itu. Kebanyakan peralatan yang dipamerkan kini menyepadukan Kepintaran Buatan (AI), terutamanya untuk mempelajari mesin.

"Juga suatu yang teruja melihat kira-kira 20-30 peratus daripada pempamer di sini, asing dan tempatan, adalah perusahaan kecil dan sederhana. Ini seterusnya menunjukkan bahawa kita sedang maju ke arah pendigitalan," katanya pada sidang media yang sama.

Beliau turut menyeru syarikat tempatan dan multinasional untuk menjalin kerjasama memperkukuh industri semikonduktor. 

Ekspo itu dianjurkan bersama oleh Fireworks Trade Media Group and NRG Exhibitions (M) Sdn Bhd.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan