AM > BERITA

JPA SEDIA RUANG, PELUANG GRADUAN TVET BERKHIDMAT DALAM SEKTOR AWAM

24/07/2024 07:25 PM

PUTRAJAYA, 24 Julai (Bernama) -- Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) menyediakan ruang dan peluang kepada graduan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) yang berkelayakan untuk berkhidmat dalam sektor awam melalui syarat lantikan lebih luas serta fleksibel.

Menurut kenyataan JPA di sini hari ini, perkara berkenaan selaras keputusan kerajaan meneruskan usaha memperkasakan TVET di bawah Kajian Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA).

Antara inisiatif yang dilaksanakan adalah memperluas kelayakan Sijil Vokasional Malaysia (SVM) dalam syarat lantikan Gred 19 dan Diploma Kemahiran Malaysia (DKM) atau Diploma Lanjutan Kemahiran Malaysia (DLKM) dalam syarat lantikan Gred 29.

Pelaksanaan inisiatif itu bakal diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam masa terdekat.

“Menerusi SSPA, JPA menyediakan ruang dan peluang kepada graduan berkelayakan TVET untuk berkhidmat dalam perkhidmatan awam melalui syarat lantikan lebih luas serta fleksibel.

“JPA sentiasa bekerjasama dengan Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) dan Jabatan Kemahiran Malaysia, Kementerian Sumber Manusia untuk memperuntukkan kelayakan TVET yang diiktiraf MQA dalam kelayakan masuk skim perkhidmatan yang bersesuaian dalam perkhidmatan awam,” menurut kenyataan itu. 

Penetapan kelayakan TVET dalam syarat lantikan ke perkhidmatan awam bergantung kepada kesesuaian bidang kemahiran tertentu di dalam skop dan huraian tugas sesuatu skim perkhidmatan serta dilaksanakan susulan perbincangan dengan ketua perkhidmatan yang berkaitan.

“Sebagai contoh, peruntukan Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) bidang pengangkutan diletakkan sebagai syarat lantikan ke skim perkhidmatan Pemeriksa Kereta Motor Gred AB19 kerana bidang itu bersesuaian dengan skim berkenaan berbanding skim perkhidmatan Pembantu Perikanan Gred G19 yang menetapkan syarat SKM dalam bidang pertanian dan asas tani,” menurut JPA.

Sementara itu, JPA memaklumkan pihaknya sentiasa cakna dengan keperluan industri negara dalam penyediaan modal insan berkemahiran bagi mendepani Revolusi Industri 4.0.

“Kerajaan terus mempergiat TVET dengan memperuntukkan kelayakan SKM dalam 66 skim perkhidmatan di Gred 19 melalui Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 1 Tahun 2011 dan Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 1 Tahun 2016.

“Bagi memastikan perkhidmatan awam sentiasa bergerak seiring keperluan negara, kelayakan DKM dan DLKM juga diperuntukkan dalam syarat lantikan bagi dua skim perkhidmatan di Gred 29 iaitu skim perkhidmatan Penolong Pegawai Latihan Vokasional Gred DV29 dan Penolong Pegawai Latihan Gred E29,” menurut JPA.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan