AM > BERITA

ILTIZAM KERAJAAN MADANI NOKTAH KEMISKINAN TEGAR TARIK MINAT CHINA

24/07/2024 07:29 PM

KUANTAN, 24 Julai (Bernama) -- Iltizam dan usaha kerajaan MADANI di bawah pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk menoktahkan kemiskinan tegar menarik minat China bagi berkongsi pengalaman dan pengetahuan mereka dalam menangani isu berkenaan di negara itu. 

Perkara terbabit dinyatakan Pengarah Urusan International Poverty Reduction Center in China (IPRCC) Liu Junwen semasa melakukan Lawatan Kerja Delegasi China–Pembasmian Kemiskinan di Malaysia, di Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) di sini hari ini.

Beliau berkata komitmen kerajaan MADANI meningkatkan sosioekonomi golongan B40 sekali gus bermatlamat menoktahkan kemiskinan tegar tahun ini menerusi pelbagai program yang telah dan sedang dirangka termasuk aktiviti pertanian dan perikanan, menarik perhatian China untuk mengetahui lebih lanjut mengenai perkara itu. 

“Tahniah atas usaha di bawah visi Malaysia MADANI dalam usaha mengeluarkan golongan B40 dalam kategori miskin tegar, ia usaha mengagumkan,” katanya yang mengetuai delegasi berkenaan selepas sesi Taklimat Pembangunan Nelayan di LKIM, yang diterjemahkan kepada bahasa Melayu. 

Turut hadir Ketua Pengarah LKIM Hamdan Mamat dan Pengarah Bahagian Kesejahteraan Rakyat (BSR) Unit Penyelarasan Pelaksanaan, Jabatan Perdana Menteri (ICU JPM) Mashitah @ Suhailah Suid. 

Lawatan kerja selama lima hari bermula 22 Julai lepas membabitkan lima pakar daripada IPRCC dan Beijing Normal University melibatkan beberapa lokasi iaitu Putrajaya, Kuala Lumpur dan Pulau Pinang selain Pahang. 

Lawatan itu yang diurus setia oleh ICU JPM, memberi fokus kepada isu berkaitan kemiskinan dan pembangunan kawasan bandar serta luar bandar dengan berkongsi pengalaman dan pengetahuan antara dua negara serta hubungan dua hala dalam isu pembasmian kemiskinan.

Dalam lawatan hari ini di Jeti Nelayan LKIM Sungai Balok, di sini, delegasi dibawa melihat usaha kerajaan menerusi LKIM meningkatkan sosioekonomi nelayan kategori B40 menjana pendapatan menerusi Pasar Nelayan yang membantu mereka memasarkan hasil terus kepada pengguna tanpa orang tengah. 

Selain itu, mereka juga diberi penerangan berkaitan peranan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) menerusi LKIM dalam membantu nelayan melalui program pembangunan industri perikanan, pengurusan dan pemuliharaan sumber perikanan, pemasaran serta bantuan lain.

Lawatan hari ini juga turut membawa delegasi ke Felda Sungai Pancing Selatan (SPS) di sini untuk melihat usaha kerajaan membasmi kemiskinan melalui pelaksanaan projek pembangunan tanah serta aktiviti pertanian menerusi Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA).

Difahamkan, hasil lawatan ini akan dibincangkan dalam sesi rumusan bersama Kementerian Kewangan, Kementerian Ekonomi, KPKM, Jabatan Pembangunan Wilayah Persekutuan serta ICU JPM di Kementerian Ekonomi, Putrajaya pagi esok.

-- BERNAMA

 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan