AM > BERITA

PENCEMARAN BAU DI SG KUDANG, SG SEMBAH: DUA INDIVIDU DITAHAN

24/07/2024 07:32 PM

PUTRAJAYA, 24 Julai (Bernama) -- Jabatan Alam Sekitar (JAS) menahan dua individu bagi membantu siasatan kes pencemaran bau di Sungai Kundang dan Sungai Sembah serta henti tugas Loji Rawatan Air (LRA) Rantau Panjang, Sungai Selangor SSP 1, 2 dan 3 semalam.

Ketua Pengarah Alam Sekitar Datuk Wan Abdul Latiff Wan Jaffar berkata susulan insiden pencemaran bau itu, JAS telah menjalankan siasatan ke sebuah premis yang disyaki iaitu memproses bahan akrilik di kawasan perindustrian Jalan Kampung Orang Asli, Kuang, Rawang, Selangor.

“Hasil pemeriksaan mendapati punca pencemaran bau akibat kebocoran bahan kimia dikenali sebagai Poly Metha Acrylic Acid (PMAA) daripada tangki penstoran yang merupakan produk yang dihasilkan oleh premis terbabit berbentuk cecair,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata tumpahan produk itu akhirnya melimpah ke longkang premis bersebelahan sehingga longkang jalan besar dan seterusnya ke Sungai Kuang.

“Aliran Sungai Kuang akan memasuki Sungai Kundang kemudiannya ke Sungai Sembah dan seterusnya memasuki Sungai Selangor. Kebocoran bahan kimia berkenaan telah menyebabkan pelepasan bau kerana ciri-ciri bahan kimia PMAA yang berbau kuat dan tengik,” katanya.

Susulan itu, Wan Abdul Latiff berkata arahan serta-merta telah dikeluarkan oleh JAS kepada pengusaha premis untuk menjalankan kerja-kerja pembersihan di dalam premis, kawasan longkang dan anak sungai yang terkesan.

“Kerja-kerja terbabit telah selesai pada petang semalam oleh kontraktor yang dilesenkan oleh jabatan.

“Sebanyak tiga sampel bahan bukti turut diambil dan sudah dikemukakan ke Jabatan Kimia Malaysia (JKM) untuk ujian penentuan komposisi dan pemadanan,” katanya.

Beliau berkata kawasan operasi premis berserta peralatan kelengkapan proses telah disita oleh JAS melalui pengeluaran notis Penahanan Operasi Kelengkapan (POK) di bawah Seksyen 38(1)(a) Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 sehingga siasatan selesai.

Katanya, kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 25 Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 (Pindaan 2024) yang memperuntukkan hukuman penjara mandatori hingga lima tahun dan denda hingga RM10 juta jika disabitkan dengan kesalahan mencemar sungai.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan