AM > BERITA

KMJG 2024 PLATFORM RAKYAT HAYATI ERTI KEMERDEKAAN

24/07/2024 09:06 PM

TANGKAK, 24 Julai (Bernama) -- Kembara Merdeka Jalur Gemilang (KMJG) 2024 yang tiba di Dataran Tangkak, Johor di sini hari ini, menjadi platform untuk penduduk setempat menghayati erti kemerdekaan. 

Ketua Urusetia KMJG 2024 Peringkat Negeri Johor Abdul Rahman Abdul Halim berkata KMJG 2024 Johor melibatkan 100 penyertaan dengan 77 kenderaan yang melalui beberapa daerah bermula di Tangkak dan berakhir di Segamat pada Sabtu. 

Beliau berkata kembara berkenaan bakal singgah di beberapa lokasi ditetapkan dan peserta bersama-sama komuniti setempat akan mengibarkan Jalur Gemilang untuk meningkatkan semangat patriotisme sempena Bulan Kebangsaan. 

“Konvoi kali ini (Johor) yang turut melibatkan kelab motosikal Suzuki V-Storm Owner Club Malaysia yang terdiri golongan muda dan veteran akan melalui daerah Tangkak, Muar, Batu Pahat, Pontian, Kulai, Kluang dan Segamat sebelum meneruskan perjalanan ke Pahang.

“Di sepanjang perjalanan konvoi, kita akan berkempen untuk mengajak rakyat bersama-sama menjayakannya dan berharap setiap rumah turut mengibarkan Jalur Gemilang,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Penerimaan Konvoi KMJG 2024 Melaka di Dataran Tangkak.

Pada majlis berkenaan, penerimaan Jalur Gemilang daripada KMJG 2024 Melaka disambut oleh Pegawai Daerah Tangkak Mohd Farid Kassim dan Pengarah Penerangan Negeri Johor Saiful Hisham Mansor.

Sementara itu, Presiden Kelab Suzuki V-Storm Owner Club Malaysia Mohamad Zaidi Yahya berkata penyertaan kelab dalam konvoi 22 hari berkenaan adalah untuk menyemarakkan jiwa patriotik dalam kalangan penunggang motosikal.

Beliau berkata negeri seterusnya ialah Pahang sebelum menjelajah beberapa negeri yang lain seperti Terengganu, Kelantan, Perak, Pulau Pinang, Perlis, Kedah dan berakhir di Kuala Lumpur.

Pelepasan KMJG 2024 yang disempurnakan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim bakal singgah di 10 negeri dalam usaha untuk menguar-uarkan sambutan Hari Kebangsaan dan di setiap lokasi Jabatan Penerangan akan mengatur pelbagai program menarik untuk masyarakat setempat.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan